Anda di sini

Perayaan elemen penyatuan rakyat: Nanta

Advertisement
Nanta (sembilan kiri) sambil disaksikan kenamaan lain memukul gong sebagai simbolik merasmikan Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2024 pada malam Sabtu.
Nanta (sembilan kiri) sambil disaksikan kenamaan lain memukul gong sebagai simbolik merasmikan Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2024 pada malam Sabtu.

SIBU: Sambutan perayaan merupakan elemen penyatu kepada semua masyarakat, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, perayaan juga menghimpunkan semua masyarakat, tanpa mengira agama, latar belakang atau fahaman politik.

"Semasa meraikan sesuatu perayaan, ahli politik boleh dilihat duduk semeja, tanpa mengira perbezaan ideologi politik mereka.

“Walaupun kita (ahli politik) mungkin berbeza pendapat dalam politik terutama semasa pilihan raya, tetapi semasa Gawai, kita dapat berkumpul," katanya berucap pada Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada malam Sabtu.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Katibas Lidam Assan, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Senator Robert Lau, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong, Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu Angelyn Uchi Maseng, Temenggong Stanley Gramong serta tetamu jemputan yang lain.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, dalam meraikan perayaan Gawai semua masyarakat sentiasa berada dalam kebersamaan.

Nanta (tengah) bersama barisan kenamaan serta hadirin merakamkan kenangan pada Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2024 pada malam Sabtu.
Nanta (tengah) bersama barisan kenamaan serta hadirin merakamkan kenangan pada Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2024 pada malam Sabtu.

"Saya rasa malam ini kita memperagakan sesuatu yang indah di negeri dan negara kita. Setiap daripada kita di sini bukan hanya dari kalangan masyarakat Dayak sahaja tetapi banyak kaum lain untuk bersama-sama meraikan Gawai tanpa mengira agama atau etnik kita," jelasnya. 

Justeru, beliau menegaskan perpaduan antara rakyat Sarawak yang boleh dilihat secara meluas terutama ketika sambutan perayaan perlu dipelihara.

"Bukan sahaja semasa Gawai, malah Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Deepavali, kita sama-sama menyambutnya. Ini adalah sesuatu yang perlu kita teruskan," tambahnya.

Menyentuh mengenai pertandingan Kumang yang sering dianjurkan pada setiap perayaan Gawai, Nanta berkata, ia bukan sahaja untuk menilai kecantikan peserta tetapi bergantung kepada cara mereka mempamerkan pakaian mereka.

Menurutnya lagi, pertandingan Kumang adalah platform untuk mempamerkan pakaian tradisional iaitu 'Ngepan' sesuatu yang dibanggakan seterusnya berupaya menarik generasi muda untuk menyertainya. 

"Kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai warisan tradisi kita untuk dipamerkan bukan kepada kita sahaja tetapi memperkenalkannya kepada masyarakat lain," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement