Anda di sini

Uggah cadang BDDA dan SADA bekerjasama promosi pelancongan

Advertisement
 Uggah bersama Roy serta yang lain menyampaikan sebuah motosikal kepada pemenang cabutan bertuah pada perasmian Pesta Lubok Antu di Dataran Rusa di Engkilili, hari ini.
Uggah bersama Roy serta yang lain menyampaikan sebuah motosikal kepada pemenang cabutan bertuah pada perasmian Pesta Lubok Antu di Dataran Rusa di Engkilili, hari ini.

KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dicadang untuk menjalinkan kerjasama dalam mempromosikan sektor pelancongan di kawasan masing-masing.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedua-dua kawasan itu mempunyai banyak tarikan untuk ditawarkan.

“Betong dan Engkilili mempunyai banyak tarikan untuk ditawarkan. Tarikan kita adalah serupa. 

“Kita mempunyai keunikan budaya dan tradisi Iban termasuk kraf tangan, alam semula jadi dan rumah panjang tradisional yang boleh ditawarkan untuk sektor pelancongan di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Lubok Antu yang julung kali diadakan di Dataran Rusa di Engkilili, hari ini. 

Malah kata Uggah, kawasan tasik Empangan Hidro Batang Ai yang berdekatan dengan Engkilili dan ‘Batu Nabau’ (struktur batu menyerupai kepala ular gergasi) serta legendanya boleh dijadikan antara tarikan utama.

“Untuk Betong pula, kita bakal mempunyai replika Kubu Rentap di Bukit Sadok yang boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan di kawasan itu.

“Pembinaan projek bernilai RM15 juta ini dijangka ditender tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu, Uggah berkata STOL Bebuling di Spaoh, Betong yang dijadualkan siap tahun depan akan menjadi rangsangan kepada ketibaan pelancong.

“Jadi, kedua-dua BDDA dan SADA boleh duduk berbincang bagaimana untuk sama-sama membangunkan produk pelancongan.

“Sektor pelancongan kini penuh dengan potensi sebagai aliran pendapatan baharu untuk penduduk luar bandar,” katanya.

Mengenai perkembangan di kawasan Parlimen Engkilili, beliau berkata pengundi telah membuat pilihan tepat untuk mengundi Roy Angau Gingkoi, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beliau berkata, kedua-dua kerajaan pusat dan negeri kini giat merancang atau sedang melaksanakan projek yang menelan kos sejumlah RM921 juta.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata sebagai contoh, tender pembinaan Jalan Ulu Skrang dan Lubok Antu Fasa 2 bernilai RM28.5 juta akan dikeluarkan pada Ogos tahun ini.

“Pembinaan Jalan Sebeliau-Birarap bernilai RM228 juta kini dalam proses penilaian tender,” katanya.

Di samping itu ujarnya, pembinaan jambatan konkrit merentasi Batang Ai di pekan Engkilili dengan kos RM16.520 juta sedang dalam proses reka bentuk dan menunggu kelulusan SPA.

“Ini adalah antara projek utama yang dibiayai oleh persekutuan.

“Di bawah SADA juga, antara lain, reka bentuk pembinaan Jalan Sebeliau Ng Entalau yang menelan belanja RM68 juta kini telah siap dan tender pembinaannya sedang dipanggil buat masa ini,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu tender pembinaan Jalan Sri Aman/Lifong yang menelan belanja RM63 juta disasar akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.

Mengenai permintaan Roy supaya Engkilili mempunyai tebingan sungai atau waterfront, Uggah berkata, mereka akan menyuarakan permohonan itu kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mendapatkan persetujuannya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan pemberian RM50,000 kepada jawatankuasa penganjur festival tahun ini.

Advertisement