Anda di sini

Sarawak Metro mulakan Kempen Inisiatif Hijau dengan penanaman pokok di Pending

Advertisement
Wee bersama wakil dari Sarawak Metro, Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd melakukan simbolik penanaman pokok pada Kempen Inisiatif Hijau hari ini.
Wee bersama wakil dari Sarawak Metro, Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd melakukan simbolik penanaman pokok pada Kempen Inisiatif Hijau hari ini.

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) memulakan ‘Kempen Inisiatif Hijau’ dengan aktiviti penanaman pokok di Pending di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Sarawak Metro hari ini, kempen yang dianjurkan dengan sokongan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu bertujuan untuk meningkatkan lagi usahanya dalam pemuliharaan alam sekitar.

Aktiviti penanaman pokok itu juga merupakan usaha kerjasama antara Sarawak Metro dan kontraktornya bagi pakej Red Line Fasa 1 projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) - sebuah syarikat usaha sama terdiri daripada Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd.

Datuk Bandar DBKU Dato Wee Hong Seng memuji Sarawak Metro atas usahanya dan berharap untuk melihat lebih banyak inisiatif sedemikian daripada syarikat itu pada masa hadapan.

“Selari dengan bandar kita yang berkembang, salah satu cabaran utama sudah tentu untuk memastikan kita menjadikan Kuching sebagai tempat yang sesuai untuk didiami.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa mempertingkatkan kualiti hidup penduduk Kuching dan dengan apa yang kita lakukan hari ini boleh membantu mencapai aspirasi kita ke arah mewujudkan sebuah bandar yang lebih sihat dan hijau,” kata Wee ketika merasmikan kempen tersebut dalam kenyataan itu.

Wee berharap kempen itu memberi impak bermakna kepada penduduk yang tinggal di kawasan MBKS, terutamanya sepanjang jajaran projek KUTS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Ts Mazli Mustaffa berkata, menerusi aktiviti seperti penanaman pokok, syarikat berharap dapat mewujudkan lebih banyak kawasan hijau yang turut berfungsi mempertingkatkan landskap di bandar ini.

Menurutnya, semasa melaksanakan projek KUTS, pihaknya mendapat inspirasi untuk memastikan alam sekitar dipelihara untuk dinikmati semua orang.

"Inisiatif penghijauan ini adalah satu tugas besar tetapi pihak kita komited untuk menyumbang meskipun dalam cara yang kecil," kata Mazli.

Beliau menjelaskan, Kempen Inisiatif Hijau juga merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak Metro untuk mengindahkan landskap di sepanjang jajaran projek KUTS ke arah meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat yang dilayaninya.

Advertisement