Anda di sini

RM250,000 dana amal berjaya dikumpul PCAKK

Advertisement
 Shahelmey (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Lama kepada seorang penerima.
CEMERLANG: Shahelmey (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Lama kepada seorang penerima.


KOTA KINABALU: Sejumlah RM250,000 dana amal berjaya dikumpul oleh  Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK) dalam satu majlis yang diadakan di sini, pada Jumaat.

Presiden PCAKK Ivy Stanislaus berkata, Majlis Makan Malam Amal dan konsert The Killer Queen Experience yang diadakan berjaya menarik lebih 1,000 tetamu pada malam itu.

Katanya, PCAKK adalah badan kebajikan yang memberikan perkhidmatan dengan tujuan membaiki kualiti kehidupan pesakit dan keluarga pesakit yang berhadapan dengan penyakit kronik.

"PCAKK kini menjaga kebajikan pesakit kronik seperti kanser, buah pinggang, jantung, paru-paru dan banyak lagi.

"Kita juga menjaga kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik. PCAKK juga menawarkan sistem perkhidmatan untuk membantu pesakit menjalani kehidupan yang aktif," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Datuk Margaret Lim berkata, pihaknya kini mempunyai lebih daripada 5,000 pesakit termasuk keluarga mereka.

"Program jagaan rumah kami kini mempunyai pegawai perubatan sepenuh masa dan panel-panel penasihat perubatan," katanya.

Penaung PCAKK, Meng Tan berkata, sehingga kini ramai golongan warga emas berhadapan dengan penyakit kronik.

"Berikutan itu, permintaan untuk penjagaan paliatif sangat tinggi, oleh itu adalah penting untuk mendapat sokongan daripada kerajaan agar jagaan paliatif ini dapat diakses kepada semua rakyat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu pertubuhan ini," katanya.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Al Hambra Juhar, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah serta ramai lagi.

  • oleh
  • Advertisement