Anda di sini

Program Sejambak Kasih santuni golongan memerlukan pada musim perayaan: Harden

Advertisement
Harden (tengah) menerima cenderamata daripada Kueh pada Program Sejambak Kasih Gawai Dayak 2024 di Sri Aman, baru-baru ini.
Harden (tengah) menerima cenderamata daripada Kueh pada Program Sejambak Kasih Gawai Dayak 2024 di Sri Aman, baru-baru ini.

SRI AMAN: Agihan bakul makanan pada Program Sejambak Kasih yang dianjurkan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman setiap kali musim perayaan dilihat sebagai tanggungjawab sosial pertubuhan tersebut bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sejambak Kasih Gawai Dayak 2024 anjuran pertubuhan tersebut di premisnya di Jalan Bayu, dekat sini baru-baru ini.

Pada program berkenaan, 250 penduduk Iban menerima bakul makanan mengandungi sekampit 10 kilogram (kg) beras dan beberapa jenis makanan kering hasil sumbangan individu.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola kerana telah berjaya mengadakan program Sejambak Kasih di musim perayaan, pada kali ini perayaan Gawai Dayak yang bakal disambut masyarakat Dayak di seluruh Malaysia amnya dan di Sarawak khasnya.

"Terima kasih dan penghargaan juga dipanjangkan kepada para penderma dalam bentuk tunai dan barangan kepada pertubuhan kerana tanpa sumbangan daripada individu yang baik hati sudah tentu kita juga tidak dapat mengadakan penyerahan bakul makanan seperti hari ini," jelasnya lanjut.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan aluan, pengerusi jawatankuasa pengelola Simon Kho Guan Seng berterima kasih kepada Harden kerana setiap tahun memberi sokongan kepada program tersebut dengan menyalurkan peruntukan kewangan.

Pada majlis itu, Harden telah meluluskan peruntukan RM20,000 kepada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman untuk membiayai kegiatan pertubuhan dalam menyampaikan perkhidmatan terhadap kebajikan masyarakat.

Turut hadir ialah presiden pertubuhan Temenggung Kueh Aik Seng, wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKMB) Sri Aman Zulfikar Manja, Penghulu Leonard Libau Anol, Penghulu Andar Suntai, Kapitan Ling Siew Hung, Kapitan Sim Haw Phian, Kapitan Wong Tiong Kee dan Kapitan Goh Teo Soon.

Advertisement