Anda di sini

Polis tingkatkan rondaan cegah jenayah sempena musim perayaan

Advertisement
Ang (enam kiri) menyampaikan cenderamata kepada Parum sambil diperhatikan Ann Minah (empat kiri), Daniel (empat kanan) dan ahli jawatankuasa penganjur.
Ang (enam kiri) menyampaikan cenderamata kepada Parum sambil diperhatikan Ann Minah (empat kiri), Daniel (empat kanan) dan ahli jawatankuasa penganjur.

LIMBANG: Polis akan meningkatkan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan dan perkampungan sempena musim perayaan Gawai ini.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, rondaan itu dilakukan bertujuan mencegah jenayah pecah rumah, terutama ke atas rumah-rumah yang ditinggalkan semasa penghuni pulang bercuti.

Beliau turut meminta orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar memaklumkan ketiadaan mereka kepada Balai Polis Limbang bagi memudahkan aktiviti rondaan dilakukan.

“Saya menyeru kepada masyarakat yang meninggalkan rumah dan kediaman agar memastikannya dalam keadaan berkunci dan selamat.

“Tolong maklumkan kepada pihak polis Limbang sekiranya anda meninggalkan rumah masing-masing dan kita akan melaksanakan rondaan di kawasan perumahan, terutama yang ditinggalkan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah 2024 sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, hari ini.

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan mengadakan Ops Lancar sempena Hari Gawai Dayak 2024 di daerah ini.

Parum turut menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa memandu agar selamat sampai ke destinasi yang hendak di tuju selain mengelak berlakunya kemalangan maut.

Pada program itu, pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Meningkatkan Moral Che Chuang Khor Limbang, Parti Demokratik Progresif (PDP) Bukit Kota dan PDP Batu Danau dengan menyasarkan 60 penderma.

Katanya, program itu salah satu tanggungjawab pihaknya untuk sama-sama membantu menderma darah bagi menyelamatkan nyawa orang lain yang memerlukan, selain membantu Hospital Limbang menambah bekalan darah.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Limbang Ann Minah Giyang, Pengerusi Persatuan Meningkatkan Moral Che Chuang Khor Limbang dan PDP Bukit Kota Ang Ek Chong dan Ketua Pemuda PDP Batu Danau yang juga Exco Negeri Kaunselor Daniel Taha.

  • oleh
  • Advertisement