Anda di sini

Lee nasihati remaja jangan salah guna motosikal untuk merempit

Advertisement
Lee menunjukkan replika lesen L beliau yang dimohon lebih 30 tahun lalu sebagai simbolik perasmian majlis hari ini, sambil dua penerima lesen Kelas B2 menunjukkan MyLesen mereka yang mendedahkan perbezaan dua era.
Lee menunjukkan replika lesen L beliau yang dimohon lebih 30 tahun lalu sebagai simbolik perasmian majlis hari ini, sambil dua penerima lesen Kelas B2 menunjukkan MyLesen mereka yang mendedahkan perbezaan dua era.

MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin hari ini mengingatkan golongan remaja yang sudah memperolehi lesen memandu mereka (Kelas B2) supaya tidak menyalahgunakannya untuk merempit hingga boleh mengancam nyawa mereka sendiri. 

"Jangan pula kamu terbabit dengan kegiatan lumba haram dan menjadi mat rempit kerana ini boleh membahayakan nyawa kamu sendiri.

"Sayangilah nyawa kamu," katanya mengingatkan lebih 500 pelajar dan golongan belia yang hadir pada Majlis Penutupan Penyerahan Lesen Memandu di bawah Program MyLesen (Kelas B2) di sini, hari ini.

Mengingatkan para pelajar supaya menjadi penunggang motosikal berhemah, Lee memberitahu statistik kadar kemalangan menunjukkan Sarawak mencatat peningkatan sebanyak 10.85 peratus dalam jumlah kemalangan maut iaitu daripada 341 kes kemalangan maut bagi tahun 2022, kepada 378 kes pada 2023.

"Manakala bagi Bahagian Miri, ia mencatat penurunan sebanyak 10 peratus dengan jumlah kes kemalangan maut yang direkodkan adalah sebanyak 49 kes kemalangan maut bagi tahun 2022, manakala sebanyak 44 kes kemalangan maut bagi tahun 2023," ujar beliau. 

"Berdasarkan trend statistik ini, kadar kemalangan maut semakin meningkat secara keseluruhannya.

"Hal ini amat mendukacitakan kerana ia merugikan kita dan negara amnya. 

Lee (baris depan tengah) bersama Norizan (baris depan tiga kiri) dan tetamu jemputan yang lain bergambar dengan lebih 578 peserta Program MyLesen (Kelas B2) di Senadin, Miri hari ini.
Lee (baris depan tengah) bersama Norizan (baris depan tiga kiri) dan tetamu jemputan yang lain bergambar dengan lebih 578 peserta Program MyLesen (Kelas B2) di Senadin, Miri hari ini.

"Justeru, saya menyambut baik pelaksanaan program ini agar dapat dipeluaskan ke seluruh negeri Sarawak dengan harapan agar mampu mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap perlunya mempunyai minda dalam menitik beratkan keselamatan jalan raya, dnegan mengamalkan pendekatan 'Pandu Cermat Sampai Selamat ke Destinasi'.

"Ini adalah mantera bagi setiap pemandu atau penunggang yang berhemah semasa berada di atas jalan raya," jelas beliau.

Lee turut mengingatkan para pelajar dan penunggang motosikal yang lain supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat mengundang tragedi melalui perilaku yang tidak bertanggung jawab semasa di atas jalan raya seperti menunggang dengan melulu (kelajuan tinggi), melanggar peraturan jalan raya, membuat modifikasi pada kenderaan yang cenderung meningkatkan kelajuan kenderaan atau mengganggu ketenteraman awam (modifikasi ekzos motor), menunggang dalam keadaan mabuk atau khayal dan menunggang secara berbahaya termasu melakukan aksi berbahaya.

"Oleh itu, besarlah harapan saya agar semua peserta MyLesen di Senadin ini dapat menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat di sekitar dalam aspek menjadi penunggang yang berhemah.

"Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan di Malaysia amnya dan di Bahagian Miri khususnya," katanya lagi. 

Mengenai program itu yang berlangsung di Dewan Dato Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya di sini, Lee memberitahu ia merupakan kemuncak kepada pelaksanaan salah satu inisiatif kerajaan yang menawarkan bantuan untuk memperoleh lesen motosikal kelas B2 bagi peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Miri.

"Progam Bantuan MyLesen  (Kelas B2) ini melibatkan seramai 578 calon peserta yang majoritinya adalah pelajar dari 14 sekolah menengah di sekitar daerah Miri, di samping orang awam. 

"Program ini telah mula dilaksanakan mulai 11 Januari 2024 sehingga 25 Mei 2024 melibatkan kerjasama di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri, Pejabat Pusat Khidmat DUN.75 Senadin, Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Miri dan Institut Memandu Miri City Sdn Bhd," katanya lagi.

Lee yakin dengan adanya Lesen Motosikal (Kelas B2) ini akan membantu memudahkan pergerakan untuk menguruskan aktiviti ekonomi, seterusnya membantu meningkatkan pendapatan isi rumah. 

Secara umumnya, beberapa kawasan di Bahagian Miri  ini dihubungkan dengan jalinan jalan raya yang baik dan ini sudah tentu memudahkan akses ke pusat-pusat kegiatan ekonomi, ujar beliau. 

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Selamat Jati Yanjah, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili dan Ketua Cawangan JPJ Miri Fifi Suhesty Asmuni. 

Advertisement