Anda di sini

Lebih 100 peserta hadiri Kursus Fasilitator GBI anjuran SHEDA

Advertisement
(Dari kiri) Andrew, Chan, Anne, Augustine dan Steve bergambar bersama peserta yang menghadiri Kursus Fasilitator GBI baru-baru ini.
(Dari kiri) Andrew, Chan, Anne, Augustine dan Steve bergambar bersama peserta yang menghadiri Kursus Fasilitator GBI baru-baru ini.

KUCHING: Lebih 100 peserta menghadiri Kursus Fasilitator Indeks Bangunan Hijau (GBI) dalam tiga sesi anjuran Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), baru-baru ini.

Menurut kenyataan SHEDA hari ini, program latihan tersebut merangkumi semua aspek proses pensijilan GBI untuk bangunan, termasuk peralatan dan prosedur permohonannya. 

"Walaupun kursus GBI bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri, sesi yang dianjurkan menandakan kali pertama ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak melalui SBF Recovery BizFund," katanya.

Timbalan Bendahari SBF dan Pengerusi Bersama SBF Recovery BizFund Anne Kung Soo Ching berkata, pengambilan peserta bagi sesi pertama tersebut adalah amat menggalakkan.

Ini sekali gus menunjukkan pemain industri mengambil langkah proaktif untuk menerima pakai prinsip dan amalan kemampanan dalam persekitaran pembinaan, katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu katanya, penyertaan daripada fakulti universiti menunjukkan potensi silibus program berkaitan industri untuk diperluaskan melalui sektor pendidikan.

Sehubungan itu katanya, kursus tiga hari itu diharapkan melengkapi peserta dengan pengetahuan untuk mengintegrasikan metodologi bangunan hijau dalam reka bentuk dan pembinaan.

Pada masa sama katanya, mengenal pasti cara untuk menerapkan bangunan dengan komponen dan sistem operasi yang akan menyumbang kepada penggunaan tenaga sifar bersih dan mengurangkan risiko kegagalan pembinaan bangunan hijau di Sarawak.

"Objektif utama program ini juga adalah untuk mengembangkan pengetahuan teknikal dan keupayaan pemaju hartanah serta membolehkan pemain industri mengenal pasti cara untuk menerapkan bangunan dengan komponen atau sistem operasi yang akan menyumbang kepada penggunaan tenaga sifar bersih.

"Selain itu, membangunkan metodologi berpusatkan Sarawak untuk pengurusan mampan dan amalan pembinaan untuk mengatasi kekangan dan cabaran dalam pembinaan bangunan hijau," katanya.

Daripada 1,154 fasilitator GBI yang kini berdaftar di Malaysia katanya, hanya 45 fasilitator atau 3.8 peratus berasal dari Sarawak. 

Oleh itu katanya, satu lagi matlamat program ini adalah untuk meningkatkan bilangan profesional bertauliah bangunan hijau di Sarawak.

Turut hadir ialah Presiden SHEDA Augustine C.H. Wong, Bendahari Agung SHEDA Steve Tan, Pengerusi Panel Akreditasi GBI Ar Chan Seong Aun dan Pengurus Besar Greenbuildingindex Sdn Bhd Andrew Kong.

Advertisement