Anda di sini

JKR Bintulu berjaya kurangkan jumlah projek lewat di Bintulu: Aidel

Advertisement
Aidel (tengah) bersama (dari kanan) Nyurak, Christopher, Iskandar, Angelie dan Lau (kiri) semasa sidang media semalam.
Aidel (tengah) bersama (dari kanan) Nyurak, Christopher, Iskandar, Angelie dan Lau (kiri) semasa sidang media semalam.

BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu berjaya mengurangkan jumlah projek lewat dalam tempoh setahun daripada 11 projek pada penghujung tahun 2022 kepada hanya satu projek di Bintulu.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, ini pencapaian yang membanggakan yang bermakna pengurusan kontrak telah dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, keseluruhannya terdapat lima projek mendahului jadual, dua projek mengikut jadual, lapan projek lewat dan satu projek kritikal lewat di Bintulu.

"Banyak projek yang dibangunkan di bawah kategori projek rakyat yang belum dilaksanakan secara fizikal tetapi masih dalam fasa reka bentuk, pengambilan tanah dan sebagainya," ujarnya dalam sidang media semalam.

Beliau sebelum itu menghadiri taklimat penyelarasan Projek Pembangunan Bahagian Bintulu di bilik mesyuarat JKR Bahagian Bintulu di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angelie Stephen Raja mewakili ADUN Tanjong Batu Johnny Pang, Jurutera JKR Bahagian Bintulu Lau Pit Hwa, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan JKR Bintulu.

Aidel berkata, projek itu bukan hanya dilaksana terus oleh JKR, tetapi projek dibangunkan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di Bintulu seperti Agensi Pembangunan Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan sebagainya.

Katanya, kebanyakan projek dalam koridor pembangunan ini akan dilaksana oleh JKR yang kebanyakannya adalah dalam pra perancangan.

"Kita sangat berpuas hati dengan pencapaian JKR Bintulu kerana berjaya mengurangkan projek kritikal lewat, daripada 11 projek kepada satu projek sahaja tahun lepas.

"Ia pencapaian baik yang membuktikan kecekapan agensi pelaksana JKR," jelasnya.

Menjelaskan lanjut katanya, projek yang masih mengalami kelewatan itu ialah cadangan pembinaan 16 kuarters tambahan untuk kakitangan di Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu Sarawak iaitu projek persekutuan yang telah dikategorikan sebagai projek kritikal lewat jadual.

Begitupun katanya, pencapaian fizikal projek itu dalam kerja pembinaannya adalah 98.58 peratus ataupun hampir 99 peratus cuma tinggal sedikit penyiapannya, tetapi kontraktor telah meninggalkannya begitu sahaja, justeru pembinaannya yang berbaki satu peratus harus dipercepat.

  • oleh
  • Advertisement