Anda di sini

Curtin Malaysia jayakan bengkel pemerkasaan komuniti bersama DAM

Advertisement
Kakitangan Curtin Malaysia bergambar bersama para peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut baru-baru ini.
Kakitangan Curtin Malaysia bergambar bersama para peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut baru-baru ini.

MIRI: Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) baru-baru ini telah menganjurkan bengkel Memperkasa Komuniti Peribumi melalui Keusahawanan dan Literasi Digital di premis Persatuan Dayak Miri (DAM).

Bengkel untuk ahli persatuan itu telah dibiayai melalui Tabung Penglibatan Komuniti Pejabat Pengajaran dan Pembelajaran Curtin Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif penglibatan komuniti yang berterusan.

Bengkel terbabit dikendalikan kakitangan akademik dan profesional dari Curtin Malaysia dalam pelbagai bidang seperti peniagaan, sumber manusia, kesihatan dan keselamatan, kebudayaan serta bahasa.

Antaranya ialah Pensyarah Kanan Dr Joseph Sia dari Jabatan Pengurusan, Pemasaran dan Perniagaan Digital dan pensyarah Dr Ling Yew Hua dari Jabatan Perakaunan, Kewangan dan Ekonomi.

Turut terlibat ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Am di Fakulti Kemanusiaan dan Sains Kesihatan Dr Noraisikin Sabani, Dr Anita Jimmie dari Pembelajaran Bersepadu Kerja (WIL) dan Jabatan Bahasa Sekolah Pra-U dan Pendidikan Berterusan.

Manakala kakitangan profesional yang terlibat sama ialah Pegawai Pembelajaran dan Pembangunan Aina Omardia Abdul Hamid serta Penyelaras Keselamatan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Petrus Kalom Isut.

Antara objektif utama bengkel berkenaan diadakan adalah untuk memperkasakan masyarakat setempat dengan menyemai kepentingan literasi digital dalam keusahawanan melalui pasaran yang dipacu teknologi hari ini serta merapatkan jurang antara pengetahuan tradisional dan keusahawanan moden.

Menerusi bengkel tersebut, para peserta mempelajari strategi penting dan diberi pengajaran langsung tentang memanfaatkan sosial media seperti Instagram untuk pemasaran, penjenamaan dan memacu jualan.

“Ia termasuklah mencipta kandungan yang menarik, membina identiti jenama yang kukuh dan menggunakan ciri unik Instagram untuk berhubung dengan pelanggan dan meningkatkan jualan,” jelas Curtin Malaysia dalam kenyataan media.

Ramai dalam kalangan masyarakat di Sarawak menurutnya, memerlukan lebih banyak akses kepada pendidikan dan sumber lain untuk usaha keusahawanan. 

Menyedari cabaran itu, Dr Sia memulakan bengkel terbabit dalam menangani halangan berkenaan kepada sebuah kejayaan.

Beliau turut berterima kasih kepada para peserta kerana menghadiri bengkel itu dan menegaskan kepentingan meningkatkan kemahiran dan menguasai celik digital serta memperkasakan individu dan masyarakat dengan pengetahuan penting untuk sara diri ekonomi dalam era digital.

Sementara itu, Naib Presiden DAM Matthew Benson turut berkongsi pendapatnya mengenai kepentingan penganjuran bengkel sedemikian khususnya kepada ahli-ahli persatuan terbabit.

Katanya, dengan menyediakan kemahiran dan pengetahuan praktikal dalam keusahawanan dan pemasaran digital, ia bukan sahaja menawarkan alat untuk berjaya, tetapi juga memupuk rasa yakin dan berdikari pada setiap peserta.

“Selain itu, sebagai sebahagian daripada bengkel, Curtin Malaysia turut menjemput kakitangan bank Maybank untuk berkongsi maklumat mengenai pinjaman perniagaan bagi usahawan mikro dan kecil, termasuk langkah-langkah yang diperlukan untuk aplikasi dalam talian agar usahawan boleh mempunyai platform untuk pembiayaan memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka,” tambah kenyataan itu.

Advertisement