Anda di sini

Buaya sepanjang 3 meter ditemukan di Taman Awam Teluk Likas

Advertisement
 Anggota APM bersama pasukan bomba berjaya menangkap buaya terbabit.
OPERASI: Anggota APM bersama pasukan bomba berjaya menangkap buaya terbabit.

KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, malam tadi.

Buaya berkenaan ditemukan oleh beberapa pengunjung yang kebetulan berada di kawasan taman awam berkenaan, kira-kira jam 12 tengah malam.   

Pegawai APM Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu pada jam 12.10 tengah malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota APM Kota Kinabalu diketuai Staf Muda (PA) Safaruddin Rusline kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan, pengadu memaklumkan terdapat seekor buaya di dalam parit di kawasan taman awam berkenaan.

“Sebaik pasukan operasi tiba di lokasi, didapati seekor buaya berada di dalam parit dan operasi menangkap reptilia itu segera dijalankan bersama pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

 Buaya berkenaan dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu dan diserahkan kepada pihak JHL.
TANGKAP: Buaya berkenaan dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu dan diserahkan kepada pihak JHL.

Menurutnya, anggota operasi kemudian menggunakan penjerut, tali dan kain untuk menangkap buaya berkenaan.

“Buaya sepanjang tiga meter dengan berat kira-kira 180 kilogram itu berjaya ditangkap selepas setengah jam operasi dan dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“APM kemudian memaklumkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah berkenaan penangkapan buaya terbabit,”katanya.

Aizex berkata, operasi berkenaan ditamatkan pada jam 1.09 pagi dan tiada sebarang kejadian tidak diingini ketika operasi dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement