Anda di sini

Wartawan sambilan di Melaka dapat perlindungan PERKESO

Advertisement
Gambar fail BERNAMA
Gambar fail BERNAMA

MELAKA: Perlindungan insurans kepada wartawan sambilan atau 'stringer' sangat penting kerana golongan berkenaan terdedah kepada pelbagai risiko ketika berada di lapangan. 

Menyedari keperluan itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem mengambil inisiatif membantu membiayai caruman perlindungan insurans di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada lebih 40 wartawan sambilan pelbagai agensi media di negeri itu.

Beliau berkata setiap wartawan sambilan terlibat menerima perlindungan insurans di bawah pelan caruman bernilai RM232.80 setahun dan beliau membiayai 20 peratus daripada jumlah itu menerusi peruntukan peribadi sejak memegang portfolio berkenaan pada 2022.

"Selebihnya ditanggung oleh kerajaan menerusi subsidi yang ditawarkan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan diharap ini dapat membantu golongan wartawan sambilan yang mencarum sekiranya ditimpa sebarang kemalangan ketika bekerja," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata inisiatif itu yang juga bertujuan menghargai jasa dan sumbangan petugas media akan diteruskan bagi tahun ketiga setelah pelan insurans semasa tamat Oktober ini. 

Sementara itu, jurukamera sambilan RTM Melaka Lufty Ahmad, 40, berkata pelan perlindungan itu sangat penting kerana setiap hari beliau perlu membuat liputan di program serta lokasi berbeza.

"Orang nampak kerja media terutama jurukamera senang tetapi mereka tidak tahu cabaran dan halangan yang perlu dihadapi untuk mendapatkan sudut menarik bagi tontonan orang ramai.

"Sekurang-kurangnya sekiranya berlaku kemalangan di luar jangkaan ketika bekerja, saya masih dilindungi," katanya yang berharap ada 'khabar gembira' untuk mereka pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.  

HAWANA 2024 akan berlangsung di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula esok dan kemuncak sambutan yang memasuki edisi keempat tahun ini bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Pelbagai program dirangka antaranya Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa yang akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pustaka Negeri Sarawak di Kuching esok, selain Pameran HAWANA 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre selama tiga hari juga bermula esok. 

Turut mengisi HAWANA 2024, Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi mengenali lebih dekat keunikan budaya serta pembangunan terkini Bumi Kenyalang, peserta HAWANA 2024 akan dibawa melawat lokasi ikonik di sekitar Kuching antaranya Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana, Dataran Ibu Pertiwi menerusi program ‘Juh Raon’ atau ‘jom bersiar-siar’ dalam bahasa Melayu Sarawak pada Ahad. - BERNAMA

Advertisement