Anda di sini

Tiga pemandu bas dikesan positif dadah pada operasi sempena Aidilfitri lalu

Advertisement
(Dari kiri) Ling, Chang, Kong (empat kiri),  Lau (lima kiri) dan di kirinya, Norizan serta yang lain mendengar taklimat AADK mengenai ujian saringan air kencing di Terminal Bas Ekspres Sibu malam tadi.

SIBU: Tiga pemandu bas didapati positif dadah melalui saringan air kencing semasa Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, lalu.

Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKP) Michael Kong, kes ini melibatkan dua pemandu di Kuching dan seorang di Miri.

"Setahu saya selepas air kencing mereka disahkan positif dadah, kes akan dirujuk kepada IO (pegawai penyiasat) yang akan bekerjasama dengan DPP (timbalan pendakwa raya) untuk menentukan sama ada akan didakwa di mahkamah atau tidak.

"Dari situ, mereka akan melakukan ujian terperinci kerana ujian di sini hanya ujian air kencing," katanya.

Katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 284 pemandu bas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

 Jelas beliau, ujian saringan air kencing penting dan berkesan dan akan dijalankan pada setiap perayaan perayaan.

"Adalah wajib bagi pemandu bas menjalani ujian saringan air kencing sebelum dibenarkan berlepas dari terminal bas.

"Kami mengambil langkah proaktif untuk memastikan pemandu mampu memandu dengan betul," kata Kong.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Gawai Dayak di Terminal Bas Ekspres Sibu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang.

Program yang disertai polis, AADK dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), dilancarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak yang diketuai oleh Norizan Jili.  

Selain ujian saringan air kencing, ciri keselamatan bas ekspres juga diperiksa, kata Kong. 

"JPJ menyemak ciri keselamatan bas ekspres seperti brek, lampu dan tayar. Ada alat untuk memeriksa keadaan tayar dan jika hampir botak, ia tidak akan dibenarkan keluar dari terminal.

"Hanya apabila pemandu melalui ujian (saringan air kencing) dan kenderaan diuji selamat untuk perjalanan, pelekat kelulusan akan diletakkan pada bas," jelas beliau.

  • oleh
  • Advertisement