Anda di sini

Subsidi diesel bersasar pastikan bantuan kewangan dapat disalur kepada golongan lebih memerlukan

Advertisement
TING
TING

SIBU: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dapat menjimatkan dana negara dan memastikan bantuan kewangan dapat disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan, terutamanya golongan B40.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying berkata langkah itu menandakan komitmen kerajaan dalam menguruskan kewangan negara dengan lebih berhemat, sambil memastikan kelestarian alam sekitar. 

Ting berkata, walaupun terdapat cabaran yang perlu diatasi, penyasaran semula bahan api itu juga dilihat sebagai satu usaha untuk masa depan lebih mampan bagi negara secara keseluruhannya.

"Langkah ini juga dijangka memberikan kesan ketara kepada beberapa sektor utama seperti logistik, stesen minyak dan syarikat-syarikat yang bergantung kepada produk petroleum. 

"Peningkatan kos pengangkutan dijangka memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat yang sudah sedia tinggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ting, di sebalik cabaran ekonomi ini, penyasaran semula subsidi diesel turut membawa harapan baharu kepada alam sekitar.

Tegasnya, dengan pengurangan subsidi, pengguna jalan raya dijangka beralih kepada pilihan yang lebih mesra alam seperti kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.

Langkah ini jelasnya, selaras dengan dasar tenaga dan alam sekitar negara yang berhasrat mengurangkan pelepasan karbon dan menjadikan persekitaran lebih bersih.

Bagaimanapun, perubahan ini tidak datang tanpa cabaran di mana kumpulan T20 dijangka akan mengalami ketidakpuasan hati akibat peningkatan kos bahan api. 

Selain itu, inflasi yang berpotensi meningkat boleh mencetuskan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah, memperlihatkan kebimbangan terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.

"Dari sudut kewangan, kerajaan optimis bahawa langkah ini akan mengurangkan beban subsidi, seterusnya berpotensi mewujudkan lebihan belanjawan," ujar beliau.

Katanya, dana yang dijimatkan boleh dialihkan kepada sektor-sektor lain yang memerlukan, memberikan manfaat lebih luas kepada rakyat.

  • oleh
  • Advertisement