Anda di sini

Pelbagai daerah terima manfaat program MCS

Advertisement
 Gambar kenangan dirakamkan ketika pada program berkenaan.
ALBUM: Gambar kenangan dirakamkan ketika pada program berkenaan.

KOTA KINABALU: Pelbagai daerah di negeri ini akan menikmati manfaat Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS).

Program MCS itu adalah usaha kerajaan untuk mendekatkan rakyat kepada pelbagai jenis perkhidmatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah yang berhadapan dengan isu-isu aksesibiliti. 

Bagi tahun 2024, Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan Malaysia Sabah telah merancang pelaksanaan sekurang-kurangnya 12 program MCS di pelbagai daerah.

Pemilihan lokasi keenam kali ini adalah melibatkan Kota Marudu iaitu di Sekolah Kebangsaan Magandai. 

Meskipun terpaksa mengharungi perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda 
selama selama tiga jam sejauh 70 kilometer jaraknya, ia tidak mematahkan semangat urus setia dan rakan-rakan agensi demi menyampaikan perkhidmatan 
kerajaan kepada 500 penduduk sekitar Mukim Ulu Bengkoka iaitu Kampung Sungai Magandai, Kg. Sonsogon Suyad, Kg. Sonsogon Magandai, Kg. Sonsogon Paliu, Kg. Sonsogon Mogis, Kg. Sonsogon Binotungan Suyad dan Kg. Sonsogon Makatol Darat.

Kesungguhan masyarakat Mukim Bengkoka untuk mendapatkan perkhidmatan
pelbagai agensi kerajaan terbukti walaupun ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berjalan kaki meredah jalan berselut dan licin dalam hujan yang memakan masa lebih kurang lapan jam dari kampung mereka.

Pada 11 dan 12 Mei 2024, MCS Kota Marudu telah berjaya diadakan di Sekolah Kebangsaan Magandai dengan penyertaan 13 agensi yang terdiri daripada pelbagai agensi persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun.

Secara keseluruhannya, program MCS ini berjaya memberi impak yang mendalam kepada penduduk di Magandai. 

Mahkamah Bergerak Sabah telah memproses 13 kes Endosmen Sijil Lahir Daftar Lewat di mana kesemua pemohon menghadapi kekangan pengangkutan untuk ke Mahkamah Kota Marudu kerana bukan semua penduduk tempatan mampu mengeluarkan tambang kenderaan yang mencecah RM700 ke Pekan Kota Marudu. 

Rangkaian perkhidmatan diteruskan dengan penduduk yang telah mendapat Endosmen Sijil Lahir Daftar Lewat ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara. 

Jabatan Pendaftaran Negara telah mencatatkan empat permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan satu permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan.

Di samping itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah mengesan lima kes kanak-kanak tercicir daripada persekolahan melalui aktiviti Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS).

Sebanyak satu kes kelulusan enrolmen segera telah diberikan dan kanak-kanak ini dijadualkan mengikuti persekolahan bermula pada 13 Mei 2024. 

Bagi mengalakkan penduduk setempat terlibat secara aktif dalam bidang pertanian, Jabatan Pertanian Sabah telah memberikan benih pokok-pokok buah dan mengajar seramai 70 orang kampung mengenai kaedah cantuman baji.

Ia bertujuan menghasilkan pelbagai warna bagi pokok bunga atau dijadikan sebagai pokok tumpang serta memberikan informasi mengenai permohonan Geran Agropreneur Muda, Agro Pelancongan dan MyGAP.

PERKESO juga tidak ketinggalan membawa perkhidmatan MYFutureJobs dengan peluang pekerjaan oleh beberapa majikan yang juga menawarkan penginapan, makan dan pengangkutan pekerja. 

Selain itu, PERKESO menerima dua permohonan bayaran caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan resit bayaran dikeluarkan serta merta semasa program. 

Pada masa yang sama, penduduk kampung juga berkesempatan untuk mengenali fungsi dan berurusan dengan rakan agensi yang lain seperti Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Pejabat Daerah Kota Marudu, Yayasan Sabah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah serta Jabatan Penerangan Malaysia. 

Advertisement