Anda di sini

Murid Sekolah Madrasah diberi peluang anggotai Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Sarawak 

Advertisement
Dr Abdul Rahman menandatangani buku pelawat di SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, hari ini. Turut kelihatan Hilmy (kiri) serta yang lain.
Dr Abdul Rahman menandatangani buku pelawat di SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, hari ini. Turut kelihatan Hilmy (kiri) serta yang lain.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) membuka peluang kepada murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan di sini untuk menganggotai Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Sarawak yang bakal ditubuhkan. 

Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman berkata, penubuhan majlis perwakilan itu merupakan satu daripada kehendak Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CCFI) di bawah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). 

“DBKU akan menjadi anggota Bandar Mesra Kanak-Kanak untuk menjaga kesejahteraan anak-anak dan satu daripada kehendak inisiatif ini diwujudkan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak. 

“Justeru, saya memberi peluang kepada pelajar SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan yang lebih dikenali sebagai Sekolah Madrasah untuk menganggotai majlis perwakilan ini yang akan dibentuk tidak lama lagi,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Bulan Membaca DBKU 2024 yang berlangsung di dewan utama sekolah tersebut di sini hari ini yang dihadiri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. 

Mengulas perkara sama, Dr Abdul Rahman berkata DBKU akan memilih kanak-kanak untuk mewakili sekolah masing-masing sebagai ahli Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Sarawak yang bakal ditubuhkan. 

Tugas mereka katanya, adalah untuk mewakili kawasan masing-masing, mencadangkan kepada DBKU apa yang mereka perlukan untuk penilaian dan tindakan lanjut. 

“DBKU telah berbincang dengan UNICEF untuk menjadikan semua fasiliti di DBKU bersifat mesra kanak-kanak. 

“Kita akan memilih kanak-kanak yang akan menjadi anggota majlis perwakilan itu nanti di mana mereka yang dipilih akan menjadi suara bagi kanak-kanak di kawasan masing-masing,” katanya. 

Dalam pada itu, ke arah status Bandar Mesra Kanak-Kanak, DBKU pada Februari tahun ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan UNICEF bagi menjayakan CFCI. 

Di bawah MOU itu, DBKU dan UNICEF akan bekerjasama dalam menyediakan pelan terbaik untuk kesejahteraan kanak-kanak merangkumi objektif yang jelas, impak, garis panduan, kewangan, garis masa serta kriteria yang diperlukan untuk mencapai CFCI. 

  • oleh
  • Advertisement