Anda di sini

Liputan rangkaian luar bandar ditambah baik menerusi penyediaan MOCN di menara SMART

Advertisement
Julaihi (belakang, tiga kanan) bersama Fahmi (belakang, tiga kiri) menyaksikan Majlis MoU SMART 600 MOCN di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching hari ini. - Gambar Penerangan
Julaihi (belakang, tiga kanan) bersama Fahmi (belakang, tiga kiri) menyaksikan Majlis MoU SMART 600 MOCN di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching hari ini. - Gambar Penerangan

KUCHING: Liputan rangkaian khasnya di kawasan luar bandar negeri ini dijangka bertambah baik menerusi penyediaan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) di menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penambahbaikan terhadap rangkaian itu yang memfokuskan kawasan luar bandar adalah penting dalam usaha Sarawak merealisasikan impian untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurutnya, usaha ke arah matlamat itu perlu dilaksanakan agar ia turut memberi manfaat kepada rakyat Sarawak untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Untuk mencapai ke arah itu, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) memeterai perjanjian bersama beberapa pengendali rangkaian mudah alih bagi menyediakan MOCN di 600 menara SMART.

"Maka, kalau kita lihat ada 600 menara SMART yang dilaksanakan di seluruh Sarawak dan sehingga kini, 512 menara siap dibina secara fizikal.

"Daripada 512 yang siap ini, sebanyak 308 menara sudah 'on air' dan 247 menara sudah menggunakan perkhidmatan MOCN di seluruh Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) SMART 600 MOCN di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan tetamu kehormat lain.

Julaihi memberitahu, usaha berterusan menambah baik perkhidmatan liputan rangkaian ini sentiasa dilaksanakan bagi membolehkan ketersambungan rangkaian memanfaatkan penduduk di bandar dan luar bandar.

"Menara SMART 600 adalah hasil usaha dengan kerajaan persekutuan sebagai ikhtiar mempercepatkan penyediaan liputan rangkaian di Sarawak.

"Terima kasih untuk kerajaan persekutuan yang telah mengambil inisiatif dalam usaha membantu Sarawak bergerak ke hadapan dan memastikan rangkaian ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak," ujarnya.

Pengendali yang terlibat dengan MoU bersama SDEC ialah CelcomDigi Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Sementara itu, Fahmi berkata MoU itu adalah kemuncak perbincangan pihaknya bersama syarikat telekomunikasi di negara ini.

"Terdapat banyak perbincangan yang telah dilaksanakan sebelum ini sehingga kita dapat menyaksikan kemuncak usaha kita pada hari ini," ujarnya.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Kewangan memperuntukkan dana berjumlah RM116 juta dalam tempoh tiga tahun untuk inisiatif MOCN.

"Telco akan menyediakan RM28 juta setahun untuk tempoh tiga tahun, jadi jumlah peruntukan adalah RM200 juta untuk memastikan menara SMART 600 dilengkapi dengan MOCN," katanya.

  • oleh
  • Advertisement