Anda di sini

Lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Annau semasa memasang pukat

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

TATAU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang dan dipercayai lemas semasa keluar memasang pukat ikan di Sungai Annau petang Khamis.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan media semalam berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden tersebut sekitar jam 6.30 petang.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), semasa kejadian mangsa yang dikenali sebagai Nicholas Daniel dan berumur 38 tahun, keluar memasang pukat di sungai dengan menggunakan perahu sekitar jam 4.07 petang," ujarnya.

Menurutnya, seorang saksi telah menjumpai perahu digunakan mangsa dan mendapati mangsa tiada dalam perahu berkenaan.

Sejurus itu katanya, ahli keluarga mangsa dengan bantuan penduduk rumah panjang telah memulakan usaha pencarian namun gagal menemui mangsa atau sebarang tanda di lokasi pencarian.

"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju warna kelabu dan seluar pendek berwarna merah," jelasnya.

Setakat ini usaha pencarian mangsa belum lagi menunjukkan sebarang petanda atau petunjuk baharu.

Sebarang perkembangan terbaharu katanya, akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Advertisement