Anda di sini

JKM Sarawak agih geran keusahawanan RM11.225 juta kepada 2,215 penerima 

Advertisement
Razi menerima cenderamata daripada Adana selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Wellbest sempena Karnival Wellbest Sarawak 2024 di Dataran Sibu Fasa 2, hari ini.
Razi menerima cenderamata daripada Adana selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Wellbest sempena Karnival Wellbest Sarawak 2024 di Dataran Sibu Fasa 2, hari ini.

SIBU: Sejak 2020 hingga Mac 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah memberi geran kepada 2,215 penerima bantuan kebajikan untuk menyertai bidang keusahawanan dengan peruntukan berjumlah RM11.225 juta. 

Daripada jumlah tersebut menurut Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, seramai 661 orang atau 29.84 peratus usahawan Wellbest telah berjaya dilahirkan yang mendapat pendapatan atau hasil jualan bersih melebihi RM1,200 sebulan.

"Kerajaan melalui JKM Sarawak telah menyediakan peluang ekonomi kepada golongan sasar jabatan khasnya penerima bantuan kebajikan untuk menyertai bidang keusahawanan dengan pemberian Geran Pelancaran sebanyak RM5,000. 

"Productive Welfare ialah suatu pendekatan bagi membantu penerima bantuan kebajikan ke arah hidup berdikari dan survival, supaya tidak bergantung kepada bantuan selama-lamanya dengan memperkasa klien bagi meneruskan kehidupannya sendiri serta menggiatkan program-program ke arah pembangunan modal insan. 

"Pendekatan ini mengambil kira aspek meningkatkan motivasi klien supaya bersedia untuk bekerja selepas memperolehi latihan kemahiran yang sesuai dengan keupayaannya.

"Penglibatan klien dalam pekerjaan adalah secara berterusan bagi memastikan klien tidak kembali kepada bantuan kebajikan untuk saraan hidup," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Keusahawanan Wellbest: Aspire To Inspire 2024 di Dataran Sibu Fasa 2, hari ini.

Seminar dianjurkan sempena Karnival Wellbest Sarawak 2024 yang bermula hari ini.

Karnival yang berlangsung hingga Ahad ini disertai 107 usahawan Wellbest dari seluruh Sarawak.

Menurut Razi, kerajaan juga telah mengambil suatu pendekatan sebagai polisi keluar daripada fenomena tersebut bagi mengurangkan sindrom kebergantungan masyarakat kepada bantuan kerajaan semata-mata, di samping untuk mencapai matlamat jabatan ke arah menjadikan perkhidmatan bantuan kepada kumpulan sasar produktif untuk tempoh tidak melebihi dua tahun. 

Menyentuh mengenai seminar itu, beliau berkata ia diadakan dengan tujuan untuk membuka minda klien jabatan seterusnya menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha menjadi lebih produktif agar dapat menyumbang kepada masyarakat.

"Seminar ini kita adakan pada hari yang pertama berlangsungnya karnival ini agar dapat memberi semangat kepada klien jabatan umumnya dan Usahawan Wellbest khususnya untuk mengadakan jualan sepanjang tiga hari ini.

"Dengan adanya perkongsian dari Usahawan Wellbest yang telah berjaya dan aspirasi dari usahawan Anas Popcorn, kita di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak berharap mereka mendapat inspirasi dan terus bersemangat walaupun selepas tempoh bimbingan.

"Seminar ini juga menjadi salah satu platform untuk JKM Sarawak terus meningkatkan kolaboratif strategik bersama agensi, syarikat atau pusat latihan kemahiran yang terpilih bagi membantu golongan sasar; ketua keluarga mahupun ahli isi rumah untuk menjadikan pendekatan 'exit policy' lebih bersasar," jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas.

Pada majlis tersebut, JKM Sarawak turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TMR Technologies Sdn Bhd. 

Dengan MoU itu, Razi berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada klien dan ahli isi rumah untuk terus berusaha dan tidak berputus asa dalam meningkatkan sosioekonomi, seterusnya menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

Hadir sama ialah Pengarah JKM Sarawak Adana Jed serta Timbalannya Norhayati Abdul Rahman.

  • oleh
  • Advertisement