Anda di sini

ADUN Sungai Bakap meninggal dunia

Advertisement
NOR ZAMRI
NOR ZAMRI

BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini pada 1.38 tengah hari tadi, menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff.

"Keluarga Allahyarham memaklumkan kepada saya bahawa paras oksigennya rendah dan saya terus singgah ke hospital sebelum solat Jumaat. Selepas itu, saya dimaklumkan oleh keluarganya yang Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 1.38 tengah hari," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Nor Zamri, 54, menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ kerana mengalami keradangan dalam perut sejak awal bulan ini.

Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 atau 15,433 undian.

Sementara itu, Muhammad Fauzi berkata jenazah akan dimandikan dan dikafankan di Hospital Seberang Jaya sebelum dibawa ke Masjid Sungai Acheh dekat sini untuk disembahyangkan serta dikebumikan pada 6 petang ini.

Allahyarham meninggalkan isteri Musalmah Yusop dan enam anak.

Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam dilaporkan mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta mengadu sakit perut tiga hari lepas sebelum dihantar ke hospital pada 1 Mei.

Sebelum menyertai PAS pada 1999, Nor Zamri bertugas di bahagian Kawalan Kualiti (QC) di sebuah kilang di Perai dan Allahyarham memulakan perniagaan dalam pembuatan roti arab 10 tahun yang lepas. - BERNAMA

Advertisement