Anda di sini

Subsidi bersasar cegah kebocoran dana kerajaan: Chiew

Advertisement
CHIEW
CHIEW

MIRI: Merasionalisasikan subsidi adalah langkah penting dalam menangani masalah struktur ekonomi negara kita. 

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, sistem subsidi bersasar yang terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan boleh mencegah kebocoran dan pembaziran dana kerajaan. 

"Pendekatan ini boleh mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, membolehkan negara melaksanakan lebih banyak projek pembangunan, melaksanakan program yang merangsang pertumbuhan ekonomi, dan menyediakan dasar kebajikan yang lebih baik untuk rakyat yang dapat membantu dalam mengurangkan kos hidup dan meningkatkan pendapatan," jelasnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Chiew berkata demikian bagi mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi ke atas diesel. 

Anwar dipetik sebagai berkata,  penyasaran bersubsidi diesel itu bagaimanapun tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan bahan api itu digunakan untuk kenderaan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri berkenaan.

Ia antara kandungan dalam Perutusan Negara yang disampaikan beliau yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan pada Selasa lalu. 

Mengulas lanjut Chiew berkata, tempoh peralihan dari subsidi konvensional kepada subsidi yang disasarkan mesti diuruskan dengan teliti untuk mengelakkan beban kewangan rakyat dan memberi kesan negatif kepada sesetengah perniagaan. 

Dalam konteks ini, Chiew menzahirkan rasa  terima kasih kepada kerajaan kerana mempertimbangkan permintaan tinggi untuk diesel di Sarawak dan Sabah untuk kegunaan harian dan aktiviti ekonomi serta mengecualikan negeri Borneo daripada program rasionalisasi subsidi diesel.

"Jika pada masa hadapan kerajaan merancang untuk melaksanakan subsidi diesel bersasar di negeri-negeri Borneo, ia mesti dilaksanakan berdasarkan formula yang telah diuji dengan baik dan meminimumkan kesan kepada rakyat dan secara efektif mensasarkan subsidi yang mencukupi terus kepada penerima memerlukan," jelas Chiew. 
 

  • oleh
  • Advertisement