Anda di sini

Polis tahan tujuh remaja, gaduh depan Pasar Besar KK

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Polis menahan seramai tujuh remaja dipercayai terlibat dengan insiden pergaduhan di hadapan Pasar Besar Kota Kinabalu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, rakaman video berkenaan menunjukkan sekumpulan remaja terlibat dalam pergaduhan dan tular di media sosial.

Menurutnya, kumpulan remaja terbabit berumur sekitar 14 tahun ke atas dan tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kejadian terbabit tidak melibatkan sebarang unsur kongsi gelap dan ia berpunca daripada buli, memeras dan rasa tidak puas hati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan tanpa pengesahan polis.

Kasim berkata, tindakan sedemikian boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, tular video menunjukkan sekumpulan kanak-kanak disyaki sedang bergaduh sesama mereka.

Rakaman video itu menunjukkan mereka melemparkan objek seperti batang paip dan kayu sebagai senjata untuk menyerang di antara satu dengan yang lain di jalan raya berhadapan pasar besar berkenaan.

Kebanyakan netizen mengecam tindakan kumpulan berkenaan yang disifatkan merbahaya bukan sahaja kepada mereka malah kepada pengguna jalan raya.
 

  • oleh
  • Advertisement