Anda di sini

PCS parti komponen baharu GRS

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) kini secara rasmi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen baharu.

Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penyertaan PCS diterima secara sebulat suara oleh semua presiden parti komponen GRS.

Katanya, parti berkenaan yang dipimpin oleh Presiden PCS Senator Tan Sri Anifah Aman sebelum ini membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai GRS. 

Menurutnya, langkah PCS menyertai GRS sebagai sebuah parti lokal adalah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah.

"Kami percaya dengan kerjasama yang lebih erat, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan negeri Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.

"Selari dengan prinsip 'Sabah First', GRS kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau turut berharap agar rakyat Sabah memberikan sokongan padu kepada GRS dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua.

Kemasukan PCS dalam GRS menjadikan gabungan itu kini mempunyai sebanyak lapan gabungan parti komponen.

Ia termasuklah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
 

  • oleh
  • Advertisement