Anda di sini

Parti Cinta Sabah kini secara rasmi menjadi parti komponen GRS

Advertisement
ANIFAH
ANIFAH


KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Senator Tan Sri Anifah Aman mengumumkan parti itu kini secara rasminya merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Perkara itu turut disahkan oleh Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan gabungan itu pada 22 Mei (Rabu) yang menyatakan kesemua presiden parti dalam gabungan itu menerima PCS menjadi komponen GRS.


Dengan kemasukan itu, PCS kini menjadi parti kelapan yang menganggotai gabungan berkenaan, yang ketika ini menerajui Kerajaan Negeri.


Dalam satu kenyataan berasingan, Anifah berkata keputusan untuk menyertai GRS antara lain adalah kerana PCS sebagai sebuah parti tempatan Sabah, berkongsi visi dan misi sama dengan gabungan itu.


"Oleh yang demikian, kami melihat rumah kami di GRS yang merupakan entiti politik tempatan yang telah lama dibayangkan oleh penduduk Sabah.


"Sebagai parti politik tempatan, ia adalah di dalam DNA politik PCS untuk memperjuangkan hak Sabah dan segala kepentingan yang terbaik untuk negeri dan rakyat.


"Untuk ini, kami (GRS dan PCS) berkongsi prinsip 'Sabah First', yang merupakan pendekatan serampang dua mata yang meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai keutamaan dan mementingkan pelbagai pembangunan yang diperlukan di Sabah," katanya.


Tambahan itu, Anifah menegaskan parti beliau turut berkongsi komitmen sama dengan GRS untuk mengukuhkan usaha Sabah bagi mengangkat agenda tempatan di peringkat nasional, wilayah dan antarabangsa.


"Adalah menjadi tanggungjawab parti yang lebih besar untuk meletakkan perjuangan untuk kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu kita, " katanya.


Dalam pada itu, Anifah ketika mengimbau kembali masa sewaktu beliau mengambil alih kepimpinan parti empat tahun lalu, beliau melihat PCS telah berkembang dari segi kekuatan, kebijaksanaan, dan kematangan sepanjang tempoh terbabit.


Beliau mengakui, walaupun PCS ada parti yang agak baharu namun Anifah memberi jaminan bahawa parti itu akan bekerja keras untuk memastikan GRS akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik yang mencerminkan identiti rakyat Sabah dari semua etnik dan kepercayaan; dan juga satu bentuk kuasa yang mereka boleh meletakkan kepercayaan dan harapan mereka untuk generasi akan datang.


Dalam kenyataan itu, Anifah dan pimpinan serta ahli parti (penyokong) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan semua pemimpin gabungan kerana menerima PCS ke dalam keluarga GRS.

  • oleh
  • Advertisement