Anda di sini

Lelaki terkejut biawak masuk ke dapur

Advertisement
Anggota APM menunjukkan seekor anak biawak yang berjaya ditangkap di dapur rumah pengadu pada Rabu.
Anggota APM menunjukkan seekor anak biawak yang berjaya ditangkap di dapur rumah pengadu pada Rabu.

MIRI: Seorang lelaki dikejutkan dengan kehadiran tetamu tidak diundang iaitu seekor biawak yang masuk ke dapur rumahnya di Lutong di sini, petang Rabu. 

Bimbangkan faktor keselamatan penghuni rumah, lelaki berusia 53 tahun itu kemudiannya menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan menangkap biawak berkenaan.

Maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu kira-kira jam 4.22 petang.

“Sepasukan tiga anggota APM diketuai Lans Koperal (PA) Christina Rabai Jimmy bergegas ke rumah pengadu yang jaraknya sekitar 13 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri sejurus menerima panggilan kecemasan. 

“Setibanya di lokasi terus berjumpa dengan pengadu dan beliau mengatakan biawak berada di dapur rumahnya,” katanya dalam kenyataan media di sini. 

APM memberitahu, pemeriksaan anggotanya di dapur rumah pengadu membawa kepada penemuan biawak tersebut. 

“Skuad berjaya menangkap seekor anak biawak dianggarkan sebesar lengan orang dewasa dengan menggunakan peralatan khas. 

“Biawak tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh dari penempatan penduduk,” ujarnya.

Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.09 petang. 
 

  • oleh
  • Advertisement