Anda di sini

Daging ayam sejuk beku bercampur khinzir dirampas

Advertisement
 Rampasan produk makanan sejuk beku di sebuah premis di Inanam di sini.
RAMPAS: Rampasan produk makanan sejuk beku di sebuah premis di Inanam di sini.

KOTA KINABALU: Sebanyak 847 kotak ayam sejuk beku bernilai RM121,968 dirampas selepas disyaki terbabit dengan pelanggaran takrifan halal.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, rampasan dijalankan dalam Op Bersepadu PGA Briged Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah di sebuah premis di Inanam di sini.

Katanya, serbuan dijalankan hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

“Hasil pemeriksaan terhadap premis berkenaan mendapati sebuah kontena sejuk beku dijadikan tempat simpanan ayam beku, daging lembu beku dan daging khinzir beku secara bercampur.

“Kesemua produk makanan sejuk beku yang dirampas termasuk 847 kotak ayam beku, 38 kotak daging lembu serta daging khinzir yang sudah dikerat kepada 281 bahagian dianggarkan bernilai RM311,292.

“Rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) manakala daging lembu dan daging babi beku diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut serta tindakan undang-undang agar makanan dengan status halal diragui tidak sampai kepada pengguna,” katanya.

Katanya, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan ini dan kes disiasat mengikut Perintah 3(1)(g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015.

Turut bersama dalam operasi ini ialah Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Cawangan Sabah Datuk Norjeli Dais dan Pegawai Unit Khidmat Pengurusan Halal Hub, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Hafizah Abdul Halim.

Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah dalam satu kenyataan berkata semua rampasan berkenaan diterima daripada PGA untuk siasatan lanjut dan seorang lelaki tempatan pemilik premis yang ditemui di tempat kejadian sudah diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Perintah 3 (1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal berdekatan di satu tempat simpanan yang sama.

“Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, pesalah membabitkan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan kedua.

“Bagi orang perseorangan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti salah laku dan tidak beretika peniaga berhubung penggunaan logo halal boleh disalurkan kepada pihak KPDN untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Aplikasi WhatsApp ditalian 019-848 8000 atau menerusi Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my.

“Maklumat turut boleh disalurkan menerusi talian Call Centre 1-800-886-800 atau Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement