Anda di sini

35 bakal penduduk Jepak Jaya ikuti kursus fertigasi dan hidroponik bersama UPMKB

Advertisement
Peserta kursus merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur.
Peserta kursus merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur.

BINTULU: Seramai 35 penduduk Jepak yang akan berpindah ke kawasan petempatan Jepak Jaya Bintulu telah menghadiri Kursus Penanaman Sayuran Menggunakan Teknologi Fertigasi dan Hidroponik berbentuk teori dan amali di Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), baru-baru ini.

UPMKB dalam kenyataannya berkata, kursus yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu dikendalikan Pusat Pertanian Putra UPMKB itu mendapat kerjasama Jepak Jaya Development Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

"Peserta didedahkan tentang pengenalan dan konsep terkini dalam fertigasi dan hidroponik, pengeluaran tanaman sayuran menggunakan teknologi sistem fertigasi dan hidroponik," tambah kenyataan itu di sini, hari ini.

Selain itu katanya, turut didedahkan amali atau praktikal tentang cara menyediakan kebun fertigasi dan hidroponik, potensi kedua-dua sistem penanaman sayuran tersebut untuk menjana pendapatan ataupun meningkatkan sosioekonomi peserta.

"Kursus dihadiri 35 peserta dari Jepak ini adalah peserta yang dipilih oleh Pegawai Khas Jepak Jaya Development, Muhamad Ali Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia," katanya.

Taklimat dan penerangan dalam kursus ini telah disampai Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB Ts Dr Muhammad Huzaifah Mohd Roslim serta dibantu Penolong Pegawai Pertanian pusat terbabit, Dennis Len Gouk dan Pembantu Pertaniannya Shamsudin Hatim.
 

  • oleh
  • Advertisement