Anda di sini

Wanita terkejut ular menjalar masuk ke bilik tidur

Advertisement
Anggota APM menunjukkan seekor ular lidi yang berjaya ditangkap di rumah pengadu hari ini.
Anggota APM menunjukkan seekor ular lidi yang berjaya ditangkap di rumah pengadu hari ini.

MIRI: Keasyikan seorang wanita menonton rancangan televisyen terganggu apabila melihat seekor ular menjalar masuk ke bilik tidurnya dalam kejadian di Kampung Lereng Bukit, di sini tengah hari tadi.

Terkejut dengan penemuan berkenaan, wanita berusia 26 tahun itu terus menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan menangkap ular. 

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu kira-kira jam 12.49 tengah hari. 

“Sepasukan empat anggota APM diketuai Koperal (PA) Susiena Echa Luton bergegas ke rumah pengadu yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri. 

“Setibanya di lokasi terus berjumpa dengan pengadu dan dia mengatakan ternampak ular menjalar masuk ke bilik tidur semasa menonton televisyen,” katanya dalam satu kenyataan media di sini. 

Setelah mendapatkan maklumat, anggota APM terus melakukan tinjauan ke lokasi dinyatakan pengadu dan berjaya menemui ular tersebut. 

“Skuad berjaya menangkap ular jenis ular lidi dianggarkan sepanjang satu meter menggunakan peralatan khas. 

“Ular itu kemudiannya dilepaskan ke habitat asalnya yang jauh dari penempatan penduduk,” ujarnya. 

Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat operasi ditamatkan jam 1.19 tengah hari.

Advertisement