Anda di sini

Wakil Rakyat diminta tangani isu bekalan air di Balung Cocos

Advertisement
GHAZALI
GHAZALI

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung perlu mengambil inisiatif bagi menangani isu bekalan air di kawasan Balung Cocos yang sudah mencecah hampir empat hari setakat ini.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, sehingga hari ini masih belum ada tindakan yang diambil oleh pihak wakil rakyat bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, penduduk mengadu berkenaan isu terputus bekalan air yang sudah berlarutan lama dan tiada tanda-tanda tindakan segera dilakukan.

“Saya difahamkan isu bekalan air terputus ini sudah berlaku pada Ahad lepas dan ia sangat menyukarkan aktiviti harian hampir 3,000 penduduk di kawasan Balung Cocos.

“Selain itu, ia turut menjejaskan seramai 1,300 orang murid dan 75 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balung,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, wakil rakyat dan kakitangannya perlu mengambil tanggungjawab secepat mungkin kerana ia membabitkan ribuan penduduk yang terjejas.

“Sepatutnya mereka perlu mendesak Jabatan Air Daerah Tawau untuk segera mengatasi masalah ini ataupun mengambil tindakan jangka masa pendek bagi mengatasinya.

“Namun, ia amat mengecewakan apabila sehingga hari ini tiada tindakan diambil dan seolah-olah membiarkan penduduk tanpa jalan penyelesaian,” katanya.

Ghazalie berkata, UMNO Tawau akan terus memperjuangkan hak dan membela nasib penduduk di daerah ini supaya mereka dapat hidup dengan selesa.

“Saya mengingatkan pemimpin di kawasan Balung supaya bekerja untuk rakyat, bukan duduk berdiam diri apabila rakyat memerlukan bantuan.

“Jabatan Air Daerah Tawau juga diminta untuk bertindak segera sekiranya terdapat aduan daripada penduduk kerana mereka pengguna dan membayar setiap perkhidmatan yang diterima,” katanya.

Advertisement