Anda di sini

Perayaan Gawai simbolik perpaduan kepada masyarakat Dayak di Sarawak

Advertisement
Mong (kanan) meletakkan piring di atas tabak buluh sambil diperhatikan Langgong (kiri) semasa merasmikan majlis berkenaan.
Mong (kanan) meletakkan piring di atas tabak buluh sambil diperhatikan Langgong (kiri) semasa merasmikan majlis berkenaan.

SRI AMAN:  Perayaan Hari Gawai adalah satu simbolik perpaduan kepada masyarakat Dayak di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang berkata, perayaan itu yang diraikan bermula 31 Mei hingga 30 Jun merupakan perayaan istimewa kepada kaum berkenaan.

“Tidak dapat dinafikan perayaan ini bukan sahaja diraikan oleh masyarakt Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan kaum Dayak yang lain di Sarawak malah semua kaum di negara ini turut berpeluang meraikannya secara bersama.

“Ini keunikan sambutan perayaan Hari Gawai yang melambangkan identity kaum Dayak di negeri ini yang telah menjadi contoh terbaik kepada kaum lain di negara ini,” ujarnya.

Beliau yang juga penasihat Jawatankuasa Lachau Gawai Festival 2024 berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis SoftLaunching  Lachau Gawai Festival 2024 edisi I di pekan Lachau dekat sini.

Beliau menambah, selain symbol kepada perpaduan dan identity masyarakat Dayak, perayaan itu juga sebagai satu simbol kepada musim menuai iaitu selepas tamat musim menuai padi.

“Gawai diadakan sebagai tanda berakhirnya musim menuai di kalangan masyarakat Dayak khususnya di Sarawak,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Lachau Gawai Festival 2024, Mong menjelaskan bahawa ia julung kali diadakan di pekan Lachau khususnya di kawasan DUN Bukit Begunan.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan Bukit Begunan saya berasa bangga atas penganjuran festival ini.

“Ini kerana, rakyat terutama masyrakat Iban di sini dapat berkumpul bersama meraikan perayaan Gawai selain berniaga di bazar yang diadakan sepanjang festival ini diadakan,” ujarnya.

Di samping itu juga katanya, masyarakat setempat turut berpeluang mendapatkan produk tempatan seperti kraf tangan mahupun cenderamata yang dijual oleh masyarakat sekitar.

“Ini turut memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan mereka menerusi penyertaan dalam festival ini sekali gus meningkatkan lagi pembangunan Sri Aman,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Residen Bahagian Sri Aman Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai Daerah Pantu Langgong Wasam, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, ketua-ketua jabatan kerajaan serta ketua-ketua masyarakat dari kawasan Bukit Begunan.

Lachau Gawai Festival diadakan bermula 17 Mei lalu dan akan berakhir pada 9 Jun depan.

Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti bazar Gawai, aktiviti jualan makanan dan minuman, pentas hiburan, Pertandingan Karaoke Dewasa, Pertandingan Gendang Pampat, Pertandingan Pemanah Gagung serta Pertandingan Kumang Anak Mit.
 

  • oleh
  • Advertisement