Anda di sini

Keperluan unik rakyat Sarawak, Sabah diambil kira 

Advertisement

Pengecualian rasionalisasi subsidi diesel baharu di Sarawak, Sabah dapat reaksi positif pertubuhan perniagaan 

Libat (kiri) dan Wee.
Libat (kiri) dan Wee.

“Penduduk di kawasan ini tiada pilihan tetapi terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan bahan api diesel disebabkan keadaan jalan serta muka bumi yang cukup mencabar.”

Libat Langup
Setiausaha Agung DCCI

Oleh Patricia Gari

KUCHING: Pengecualian pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baharu di Sarawak dan Sabah mendapat reaksi positif daripada pertubuhan perniagaan di negeri ini.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Libat Langup juga menyatakan pandangan sama lebih-lebih lagi mengambil kira keperluan unik penduduk di Sarawak yang lebih banyak menggunakan diesel dalam kehidupan harian mereka.

Menurutnya subsidi diesel memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kewangan ditanggung rata-rata pemilik kenderaan dan penduduk lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di luar bandar atau pedalaman.

“Penduduk di kawasan ini tiada pilihan tetapi terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan bahan api diesel disebabkan keadaan jalan serta muka bumi yang cukup mencabar,” katanya.

Ujarnya lagi, diesel merupakan komoditi yang diperlukan setiap hari oleh rata-rata keluarga di Sarawak.

Beliau berpendapat, sekiranya rasionalisasi subsidi diesel baharu itu dilaksanakan di Sarawak, ia akan memberi impak ekonomi yang drastik terutama ke atas penduduk luar bandar kerana kos barangan akan meningkat mendadak.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan China Sarawak (SFCA) Datuk Richard Wee berkata beliau mengalu-alukan langkah diambil kerajaan persekutuan itu kerana memberi ‘keuntungan’ dalam tempoh jangka pendek.

“Bagaimanapun, pelaksanaan subsidi jangka panjang tidak pernah menjadi penyelesaian bagi menangani isu harga barangan serta perkhidmatan kerana ia cenderung memesongkan pasaran, disebabkan penyalahgunaan oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Bagi petrol dan diesel, secara peribadi saya berpendapat kerajaan boleh mengambil langkah melaksanakan secara perlahan-lahan atau berperingkat bagi memastikan ia dapat mengelak kenaikan harga seterusnya menyebabkan tekanan inflasi lebih teruk,” katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah terbaharu diambil kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam Isnin mengumumkan Sarawak dan Sabah dikecualikan daripada pelaksanaan program rasionalisasi subdisi diesel yang baharu. 

Menurut Perdana Menteri pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.

"Di Semenanjung, bagi mengurangkan kenaikan mendadak harga barang, kita menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), termasuk bas, teksi dan bot nelayan tertentu.

"Bagi golongan B40 dan M40 yang menggunakan kemudahan diesel untuk perniagaan kecil atau bidang pertanian, perlombongan, penternakan atau nelayan, (mereka) akan terus dibantu. Maknanya, mereka tidak terkesan daripada kenaikan ini," katanya.
 

Advertisement