Anda di sini

COVID-19: Tiada sekatan kemasukan rakyat Singapura ke Sarawak

Advertisement
Dr Sim ketika ditemui pemberita memaklumkan tiada sekatan kemasukan rakyat Singapura ke Sarawak, susulan peningkatan kes COVID-19 di negara itu. - Gambar oleh Roystein Emmor
Dr Sim ketika ditemui pemberita memaklumkan tiada sekatan kemasukan rakyat Singapura ke Sarawak, susulan peningkatan kes COVID-19 di negara itu. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Tiada sekatan kemasukan rakyat Singapura ke Sarawak setakat ini, memandangkan COVID-19 diklasifikasikan sebagai endemik.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, endemik adalah bermakna virus itu adalah hidup bersama dengan komuniti.

“Sekarang kita hidup bersama virus ini (COVID-19) di mana kita hidup terbuka dengan virus berkenaan.

“Bagaimanapun Sarawak tetap akan terus memantau situasi COVID-19 di Singapura, menerusi kerjasama kita dengan pakar di UNIMAS diketuai Profesor Dr David Perera dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Wesak Peringkat Negeri Sarawak anjuran Persatuan Penganut Buddha Malaysia Cawangan Sarawak di Kuil Utama Persatuan Buddha Sarawak di Jalan Wan Alwi di sini, hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerajaan pada awal tahun ini juga telah membeli ubat antiviral Paxlovid yang diagihkan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di negeri ini.

Ia katanya, bagi menampung keperluan rawatan dan akan dibekalkan secara percuma kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

“Seperti semua sedia maklum, kita sekarang hidup bersama virus COVID-19 tidak dapat dinafikan ia masih berada di sekeliling kita.

“Atas sebab itu kita telah mengambil langkah sebelum ini untuk pengambilan vaksin dos penggalak keempat tetapi di Sarawak bagi dos keempat ini hanya mencapai lima peratus sahaja,” katanya.

Dr Sim memaklumkan ia berbanding vaksin pertama, kedua dan dos penggalak iaitu yang ketiga, yang kesemuanya mencapai lebih 90 peratus rakyat telah menerimanya.

Katanya Sarawak bersyukur kerana rakyat negeri ini sekurang-kurangnya telah menerima vaksin untuk tiga dos yang boleh menguatkan agi antibodi terhadap penyakit berkenaan.

“Apapun kerajaan akan terus memantau rapat situasi yang berlaku dengan kerjasama UNIMAS dan JKNS dan memberikan rawatan sewajarnya kepada pesakit yang datang,” katanya.

Beberapa hari lepas, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan negara itu sedang mengalami gelombang baharu COVID-19, dengan peningkatan kes jangkitan pada dua minggu lepas.

Menteri Kesihatannya  Ong Ye Kung berkata, kes COVID-19 tersebut di bahagian permulaan gelombang, di mana ia dijangka memuncak dalam dua hingga empat minggu akan datang.

Memetik laporan The Straits Times pada Sabtu, kementerian itu menganggarkan jumlah kes COVID-19 pada 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes, berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

  • oleh
  • Advertisement