Anda di sini

AS$460 bilion pelaburan sehingga 2050

Advertisement

Pelaburan itu bertujuan merealisasikan cadangan projek Hab Tenaga Baharu Sarawak (SNEH) di Bintulu

Abang Johari disambut setibanya untuk menghadiri taklimat cadangan oleh Samsung E & A Corporation, di Seoul, Korea Selatan. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
Abang Johari disambut setibanya untuk menghadiri taklimat cadangan oleh Samsung E & A Corporation, di Seoul, Korea Selatan. - Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dianggarkan AS$460 bilion dalam bentuk pelaburan dijangka disuntik ke dalam ekonomi Sarawak sehingga 2050.

Beliau berkata, pelaburan itu bertujuan merealisasikan cadangan projek Hab Tenaga Baharu Sarawak (SNEH) di Bintulu.

“Jumlah itu merangkumi perbelanjaan kerajaan dan pelaburan sektor swasta serta penglibatan ekuiti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi Pejabat Premier Sarawak , Sarawakku hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat cadangan oleh Samsung E & A Corporation di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Abang Johari dan delegasi dari Sarawak dalam sesi lawatan kerja dua hari ke negara K-pop itu. Mereka tiba pada Isnin.

Beliau berkata SNEH yang dipacu terutamanya oleh kuasa hidro daripada empangannya akan menghasilkan sumber tenaga diperbaharui terutama hidrogen dan ammonia yang akan dieksport ke negara lain di rantau ini, khususnya Korea.

Taklimat itu turut menyentuh mengenai kajian semula projek hidrogen H2biscus melibatkan pihak berkepentingan seperti Samsung E & A, LOTTE Chemical Corporation dan Korean National Oil Corporation (KNOC) dan Sarawak diwakili SEDCEnergy, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Beliau memberitahu, selepas tiga setengah tahun sejak memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan pihak-pihak berkenaan, projek di Bintulu itu akan menjadi sebahagian daripada projek SNEH berjalan dengan baik namun beberapa isu perlu diselesaikan oleh para pelabur serta Kerajaan Sarawak.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak menerusi SEDCEnergy yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Robert Hardin menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) untuk projek H2biscus.

Samsung Engineering akan melaksanakan FEED (Front End Engineering Design) untuk loji hidrogen hijau dengan kapasiti tahunan 150,000 tan dan loji penukaran ammonia hijau dengan kapasiti 850,000 tan.

Terdahulu, Naib Residen Eksekutif Samsung E&A Park Cheon Hong memberi taklimat kepada Premier dan hadirin lain mengenai cadangan projek SNEH.

Sementara itu ketika berucap selepas taklimat itu, Abang Johari mengulangi bahawa Sarawak akan membangunkan penjanaan kuasanya kepada 10GW menjelang 2030 untuk memenuhi permintaan yang dipercepatkan terutama bagi tenaga diperbaharui.

Beliau menambah, terdapat permintaan besar terhadap kuasa hijau di Sarawak misalnya oleh keperluan kuasa sehingga 1.3GW untuk projek SNEH, tambahnya.

Abang Johari turut mendedahkan bahawa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) juga telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam ruang tenaga diperbaharui semasa lawatan duta-duta EU ke Kuching baru-baru ini.

"Negara-negara EU telah menyatakan mereka akan mempertimbang untuk menubuhkan bank EU di Sarawak bagi menyediakan sumber pembiayaan pelaburan hijau di negeri ini," tambahnya.

Abang Johari ditemani Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain.

Advertisement