Anda di sini

69 institusi bakal jayakan Pameran Pendidikan dan Kerjaya Datuk Sebastian Ting

Advertisement
Lau (tengah) bercakap bersama antara yang terlibat menjayakan Pameran Pendidikan dan Kerjaya Datuk Sebastian Ting Ke-3 ketika melawat ke lokasi bagi melihat persiapan pameran semalam.
Lau (tengah) bercakap bersama antara yang terlibat menjayakan Pameran Pendidikan dan Kerjaya Datuk Sebastian Ting Ke-3 ketika melawat ke lokasi bagi melihat persiapan pameran semalam.

MIRI: Sejumlah 69 institusi pendidikan dan kerjaya telah mengesahkan penyertaan bagi bersama menjayakan Pameran Pendidikan dan Kerjaya Datuk Sebastian Ting Ke-3 yang bermula Jumaat hingga Sabtu ini.

Pameran dua hari itu akan berlangsung di Tingkat 6, Hotel Pullman Miri bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Daripada jumlah berkenaan, 47 buah adalah institusi pendidikan tempatan dan swasta manakala selebihnya 22 buah adalah daripada pelbagai syarikat berwibawa.

“Kemasukan adalah percuma, justeru kita mengalu-alukan masyarakat setempat untuk bersama memeriahkan program ini nanti di samping mendapatkan maklumat berkaitan bagi yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dan bagi mereka yang ingin mencari peluang pekerjaan,” jelas pengerusi penganjur Kaunselor Leslie Lau.

Beliau yang turut mengadakan lawatan ke lokasi pameran pada petang semalam berkata, persediaan sehingga petang berkenaan dilaksanakan dengan baik dan berharap program itu akan berjalan dengan lancar kelak.

Pameran berkenaan merupakan projek yang dimulakan Pusat Khidmat Belia N73 SUPP Piasau bersama Miri Division Education Initiative Society (MEIS).

Ia juga mendapat kerjasama MMS Miri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dengan MMS Miri sebagai rakan kongsi pendidikan, pameran itu dijangka lebih komprehensif yang akan menghimpunkan pelbagai universiti dari Malaysia, Australia, New Zealand, United Kingdom, Switzerland, Kanada dan Amerika Syarikat untuk pelajar yang mencari pendidikan berkualiti.

“Bagi pelajar lepasan sekolah, rebutlah peluang tersebut kerana institusi yang terlibat telah dipilih dengan teliti bagi komitmen cemerlang mereka terhadap kecemerlangan akademik.

“Manakala mereka yang mencari sektor kerjaya pula, terdapat syarikat masing-masing dari sekitar Miri, Bintulu dan Semenanjung Malaysia dengan turut menawarkan peluang pekerjaan dan jawatan yang menarik,” ujarnya.

Selain itu, PPD Miri juga akan mengadakan International Education Colloquium 2024 (IECMIRI2024) pada hari ini dan esok, jam 8 pagi hingga 5 petang.

Majlis perasmian akan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting hari ini pada jam 9.30 pagi.
 

  • oleh
  • Advertisement