Anda di sini

Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram bertindak sendirian

Advertisement
Saifuddin (kanan) semasa sidang media berkenaan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.-Gambar BERNAMA
Saifuddin (kanan) semasa sidang media berkenaan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.-Gambar BERNAMA

JOHOR BAHRU: Suspek dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini semalam didapati bertindak sendirian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tindakan lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu tiada kaitan dengan kumpulan terancang berdasarkan kesimpulan awal pihak polis, selepas menemu bual 46 individu dalam profil terkait insiden berkenaan.

"Kita dapati buat peringkat awalan ini bahawa penyerang bertindak bersendirian, kita panggil lone wolf, dia didorong motivasi tertentu yang dia faham sebab dia tidak bercampur orang.

"Oleh itu, kita boleh buat kesimpulan awal daripada temu bual kita dengan individu yang kita panggil bahawa tindakan (serangan) itu berupa tindakan sendirian yang terpisah daripada satu misi besar ataupun satu kumpulan terancang... itu tiada," katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.

Suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI) dan siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.

Saifuddin Nasution berkata lima ahli keluarga suspek yang ditahan polis sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Beliau berkata soal siasat akan dibuat bagi mengenal pasti sumber yang mendorong suspek melakukan serangan itu.

Sementara itu, beliau berkata jenazah Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq telah dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini, disolatkan dan diberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang. 

"Proses bedah siasat bermula petang semalam dan selesai malam tadi...polis Johor sudah mengadakan persiapan sehabis baik dalam pengurusan jenazah dua anggota ini," katanya.

Saifuddin Nasution juga berkata keluarga anggota yang cedera dalam insiden tersebut diberi perhatian dan pihaknya akan memastikan kebajikan isteri dan anak mangsa diberi keutamaan.

Terdahulu, beliau melawat lokasi serangan di Balai Polis Ulu Tiram serta diberi penerangan daripada anggota yang berada di situ ketika kejadian tersebut berlaku iaitu Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa.

Saifuddin Nasution turut menunaikan solat jenazah dua anggota polis berkenaan.- BERNAMA
 

Advertisement