Anda di sini

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah anggota polis disolatkan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil

Advertisement
Jenazah Konstabel Ahmad Azza dan Konstabel Muhamad Syafiq dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor pagi ini, untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir.-Gambar BERNAMA
Jenazah Konstabel Ahmad Azza dan Konstabel Muhamad Syafiq dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor pagi ini, untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir.-Gambar BERNAMA

JOHOR BAHRU: Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang meninggal dunia dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram semalam, selesai disolatkan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Kedua-dua jenazah yang selesai dibedah siasat malam tadi, dibawa menaiki van daripada Hospital Sultan Ismail (HSI) dan tiba di masjid berkenaan kira-kira 9.20 pagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bersama ratusan jemaah terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta waris kedua-dua mangsa bersama-sama melaksanakan solat jenazah berkenaan.

Solat berkenaan diimamkan oleh Imam Daerah Johor Bahru Mohd Nazri Ali. 

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, dua anggota polis maut selepas diserang seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang manakala seorang lagi anggota Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Razarudin mengesahkan suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam insiden berkenaan disyaki ahli Jemaah Islamiyah.- BERNAMA
 

Advertisement