Anda di sini

Lelaki Sweden ditemukan meninggal dunia di kapal pelayaran

Advertisement
 Polis dan pasukan bomba mengeluarkan mangsa di dalam kapal berkenaan.
MAUT: Polis dan pasukan bomba mengeluarkan mangsa di dalam kapal berkenaan.

LABUAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kapal pelayaran, di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mayat lelaki terbabit ditemukan kira-kira jam 7.19 malam.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian, mangsa adalah Dick Thomas @ Svahn warganegara Sweden berusia 55 tahun.

“Pihak polis bersama pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa dari ruang kapal berkenaan.

“Setakat ini, tempoh masa mangsa meninggal dunia belum dapat dipastikan dan punca kematian juga masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian di hantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk tindakan selanjutnya dan tarikh bedah siasat akan ditetapkan oleh pegawai perubatan.

“Setakat ini juga, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga pihak polis menemukan maklumat terbaharu.

“Saya menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement