Anda di sini

Kaamatan wadah penyatuan se-tanah air

Advertisement
 Hajiji (tengah) menuai padi bersama tetamu kehormat lain sebagai simbolik perasmian Tadau Kaamatan peringkat Tuaran di Tamparuli, pada Rabu.
RASMI: Hajiji (tengah) menuai padi bersama tetamu kehormat lain sebagai simbolik perasmian Tadau Kaamatan peringkat Tuaran di Tamparuli, pada Rabu.

NORIKOT Noh Di Bulan Lima. Itu judul lagu mendiang Datuk John Gaisah. Kalau diterjemahkan, maksudnya `Sudah tiba bulan lima (Mei)'. Ia berkisah tentang sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai, perayaan tradisi diraikan di Sabah sejak sekian lama. Dan kini diiktiraf sebagai perayaan tersenarai dalam kalender Persekutuan.

Walaupun seniman agung mendiang Datuk John Gaisah sudah lama meninggalkan kita (8 April 1955 - 11 Ogos 1981), tapi lagu-lagunya masih segar mewarnai dunia hiburan se-tanah air. 

Lagu `Norikot Noh Di Bulan Lima' antara yang terpopular dan menjadi siulan hingga hari ini. Malah, pada bulan Mei ini, ia terus bergema dan berkumandang -- merentasi seluruh pelosok negeri Sabah siang dan malam -- sempena sambutan Tadau Kaamatan di sana-sini.

Hari ini, kita sudah di pertengahan bulan Mei. Kemeriahan sambutan Tadau Kaamatan sangat dirasakan. 

Penuh warna-warni, diiringi tarian `Sumazau' dengan muzik gong dipalu bertalu-talu. Sungguh mempesona menyambutnya beramai-ramai dalam suasana `Aramaitih' silih berganti.

Asalnya, Tadau Kaamatan adalah perayaan kesyukuran oleh petani untuk berterima kasih kepada semangat padi yang dikenali sebagai Bambaazon, dan Kinoingan (Tuhan) atas hasil tuaian yang melimpah ruah.

Sambutan diadakan selama sebulan dengan acara rasmi kemucaknya ditetapkan dua hari pada 30-31 Mei setiap tahun.

Tahun ini `Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan' atau dalam bahasa Kadazandusun `Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon' diangkat sebagai temanya.

Di sebalik pelbagai cerita ritual dan mitos mengenai Kaamatan, sambutan hari ini tidak lagi terhad dalam lingkungan komuniti Kadazandusun/Murut, tetapi diraikan bersama oleh rakyat se-Malaysia dan se-tanah air, yang berbilang kaum dan bersilang budaya dalam suasana muhibah, aman dan makmur.

Ia menjadi wadah penyatuan dan perpaduan semua kaum, terutama di Sabah yang mempunyai kepelbagaian lebih 40 suku kaum dan sub-etnik orang asal.

Seiring matlamat asal untuk berterima kasih atas rezeki tuaian padi, Kaamatan juga sebenarnya bertujuan untuk mengekalkan semangat muhibah dan silaturahim sesama rakyat.

Inilah antara intipati yang diungkapkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran di Tamparuli, pada hari Rabu lepas.

Baginya, Kaamatan kekal sebagai platform terbaik bagi memupuk perpaduan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tanpa mengira agama dan kaum untuk terus memupuk perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang memudaratkan perpaduan.

Beliau berkata perkara yang paling penting adalah sokongan rakyat kepada kerajaan tidak boleh goyah agar pembangunan boleh dilaksanakan di negeri ini.

Untuk itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada semua perayaan kebudayaan dan keagamaan memandangkan keunikan budaya dan tradisi Sabah adalah aset penting rakyat.

Beliau turut menyatakan tema 'Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan' yang dipilih tahun ini, adalah selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan makanan Sabah.

Seiring usaha itu, kerajaan negeri komited meningkatkan hasil pertanian khususnya Tahap Sara Diri (SSL) komoditi padi. 

 

Buktinya, Kabinet negeri baru-baru ini sudah meluluskan cadangan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, sebuah agensi yang banyak membantu pembangunan industri padi negeri ini suatu ketika dahulu.

Apapun, sambutan Kaamatan yang sedang berlangsung di sana-sini di seluruh Sabah menjadi wadah penyatuan masyarakat pelbagai bangsa se-tanah air.

Seperti judul lagu `Norikot Noh Di Bulan Lima', kini bulan lima (Mei) kini tiba lagi untuk kita terus memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan bagi membangunkan negeri Sabah, berpaksikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sama-sama kita menguatkan tekad dan azam, sambil menghayati lirik lagu itu!.
 

Advertisement