Anda di sini

KKDW sedia peruntukan RM18.39 bilion untuk Sabah

Advertisement
 Ahmad Zahid menyempurnakan acara perasmian Program Sentuhan Kasih Desa KKDW & Keusahawanan Desa MADANI @ Sukau Kinabatangan hari ini.
RASMI: Ahmad Zahid menyempurnakan acara perasmian Program Sentuhan Kasih Desa KKDW & Keusahawanan Desa MADANI @ Sukau Kinabatangan hari ini.

KINABATANGAN: Kerajaan memperuntukkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM18.39 bilion bagi tujuan pembangunan di Sabah bagi tempoh 2021 hingga 2024 menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan disalurkan melalui pelbagai agensi di bawah KKDW termasuk agensi Kerajaan Negeri Sabah seperti Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Menurutnya, jumlah peruntukan di bawah RMKe-12 untuk Negeri Sabah adalah antara yang tertinggi iaitu melebihi RM14 bilion setiap tahun. 

"Peningkatan peruntukan ini menunjukkan komitmen kerajaan membantu kerajaan dan rakyat negeri Sabah untuk menikmati pembangunan dan kesejahteraan. 

"Komitmen ini akan berterusan selagi wujudnya kerjasama dan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa KKDW & Keusahawanan Desa MADANI @S ukau Kinabatangan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan  Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin. 

Program anjuran KEMAS itu diselaraskan oleh KEMAS Sabah dengan khidmat nasihat dari Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Ahmad Zahid berkata bagi tahun 2024, di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12, daripada RM7.43 bilion peruntukan pembangunan KKDW, sebanyak RM1.49 bilion atau 20 peratus telah diperuntukkan bagi Sabah melibatkan 295 projek.

Selain itu, katanya, bagi tahun 2024, KKDW turut memperuntukkan sejumlah RM77.35 juta bagi tujuan pembangunan di daerah Kinabatangan untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa.

"Antara projek utama yang telah dan akan dilaksanakan adalah termasuk pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM943 juta dan penyediaan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan kos keseluruhan bernilai RM162.4 juta," katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan kualiti prasarana asas serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui peningkatan pendapatan dengan tujuan mengeluarkan penduduk setempat dari garis kemiskinan, KKDW meluluskan pelaksanaan Program Lonjakan Mega Luar Bandar dengan jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM9 juta.

Selain itu, pembangunan penempatan baru dan penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang di kawasan Sukau yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan ameniti sosial akan dilaksanakan menerusi Program Bersepadu Pemajuan Kawasan bernilai RM47.6 juta.

"KKDW melalui KEMAS juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM2.31 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti dan latihan keusahawanan (RM1.17 juta); pendidikan kemahiran (RM1.14 juta) selain RM1.5 juta bagi naiktaraf kemudahan premis bagi manfaat masyarakat tempatan untuk kawasan Kinabatangan.

"Selain itu, sejumlah RM18 juta juga diperuntuk bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan dan modal sosial di negeri Sabah seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK)," katanya.

Beliau juga berkata sejumlah RM155.24 juta telah diperuntukkan bagi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Latihan Kemahiran Pekebun Kecil untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan luar bandar di negeri Sabah.

"Kesemua peruntukan yang diluluskan kepada Negeri Sabah adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Persekutuan sangat cakna kepada rakyat Sabah. 

"Kerajaan sentiasa ingin memastikan rakyat Sabah menikmati rahmat kekayaan negara ini serta tidak ketinggalan dalam arus pembangunan kedesaan," katanya.
 

Advertisement