Anda di sini

FAMA Sabah anjur kursus bagi memperkukuh amalan terbaik petani limau bali Tenom

Advertisement
 Arthur, Riduan dan tetamu jemputan menunjukkan isyarat tangan bagus selepas menyaksikan acara menandatangani perjanjian diantara FAMA Sabah dengan 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.
METERAI: Arthur, Riduan dan tetamu jemputan menunjukkan isyarat tangan bagus selepas menyaksikan acara menandatangani perjanjian diantara FAMA Sabah dengan 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.


TENOM: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menyarankan petani limau bali Tenom supaya mempraktikkan amalan standard operasi dan piawaian yang terbaik.


Jelas Arthur, ia penting bagi mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai salah satu pengeluar utama industri limau bali negara.


"Sabah merupakan salah satu daripada pengeluar limau bali utama di Malaysia selain dari negeri Perak. Pada tahun 2023, industri limau bali (pamelo) di Sabah mencatatkan hasil sebanyak 268 ribu kilogram (kg) bersamaan dengan RM966,000 " katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali anjuran FAMA Sabah dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah; Bahagian Kawalan Racun dan Perosak Baja, Jabatan Pertanian Malaysia serta MARDI Sabah.

 Arthur menyampaikan ucapan perasmian sempena Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali yang diadakan.
RASMIKAN: Arthur menyampaikan ucapan perasmian sempena Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali yang diadakan.


Dalam perkembangan sama, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, sehingga 7 Mei 2024, Sabah telah merekodkan pengeluaran limau bali sebanyak 134 ribu kg bernilai RM527,000 dan ini secara tidak langsung mencerminkan potensi dalam pertanian limau bali untuk diterokai oleh para petani Sabah.


Mengulas lanjut, Arthur berpendapat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dalam pengeluaran serta pengeksportan buah limau bali, satu standard atau piawaian dalam kalangan petani dan pengeluar limau bali tempatan harus diwujudkan selaras dengan konsep PINTAR yang menjadi hala tuju KPKM pada tahun 2024.


"Melalui pengajaran amalan-amalan terbaik dalam pemasaran, matlamat penurunan kadar kerosakan lepas tuai dari 30 peratus hingga 50 peratus kepada kurang daripada 30 peratus sepanjang rantaian bekalan akan dapat dicapai dan seterusnya membantu mengurangkan kerugian hasil pertanian dan menjadikan industri pertanian lebih berkesan dan efisien, " katanya.


Pada majlis itu, Arthur turut menyaksikan sesi menandatangani perjanjian 'Forward Agreement' antara FAMA Sabah dengan 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.

 Arthur menunjukkan buah Limau Bali yang dihasilkan petani limau bali di Tenom.
POTENSI: Arthur menunjukkan buah Limau Bali yang dihasilkan petani limau bali di Tenom.

 
Melalui perjanjian ini, FAMA Sabah mensasarkan pembekalan buah limau bali sebanyak 10 metrik tan/seminggu dan sejumlah 480 metrik tan/setahun dengan harga kenaikan harga awal sebanyak RM3.80/kg berbanding harga semasa RM3.60/kg.


Arthur percaya dengan bimbingan daripada agensi KPKM di Sabah serta dengan sokongan padu MAFFI Sabah, para peserta tanaman buah limau bali Tenom akan dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan dan seterusnya menjadikan industri ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat di sini.


Turut hadir Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pengarah FAMA Sabah, Sarman Sidno, pegawai-pegawai agensi KPKM di Sabah serta wakil daripada Jabatan Pertanian Sabah.


 

  • oleh
  • Advertisement