Anda di sini

TBS: Kesedaran syarikat korporat membayar zakat meningkat

Advertisement
Abang Mohd Shibli serta yang lain bergambar bersama tetamu kenamaan yang hadir pada Hari Baitulmal Bersama Pelanggan Bahagian Miri, pada Selasa.
Abang Mohd Shibli serta yang lain bergambar bersama tetamu kenamaan yang hadir pada Hari Baitulmal Bersama Pelanggan Bahagian Miri, pada Selasa.

MIRI: Jumlah sumbangan zakat daripada syarikat korporat kepada kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah menunjukkan perkembangan positif dan bertambah pada tahun ini.

Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata bagi tempoh Januari 2024 sehingga 30 April 2024, TBS telah mengutip zakat sejumlah RM63.10 juta.

"Bukan sahaja yang terlibat dalam perbankan Islam, takaful dan sebagainya, syarikat-syarikat besar sudah mula membayar zakat dan ini mungkin kerana kesedaran mereka juga membantu golongan memerlukan," katanya semasa ditemui Hari Baitulmal Bersama Pelanggan Bahagian Miri, pada Selasa.

Abang Mohd Shibli memberitahu, TBS telah mencapai sasaran untuk mengutip RM141.5 juta pada tahun lalu dan ia adalah satu perkembangan positif.

"Semakin banyak yang kita kutip, maka semakin banyak bantuan akan diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan di Sarawak," jelasnya.

Beliau menjangkakan kenaikan kutipan zakat sekurang-kurangnya lima peratus dan perkembangan itu dapat dilihat dengan kesedaran orang awam dan syarikat korporat membayar zakat.

"Zakat melalui pemotong gaji telah banyak membantu iaitu lebih 56 peratus pelanggan kita membayar zakat mereka melalui potongan gaji setiap bulan," jelasnya.

Menurutnya hasil daripada kutipan zakat dan diagihkan semula kepada masyarakat islam yang memerlukan melalui empat program utamanya iaitu, Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.

"Pada 2023, kita telah mengagihkan kira-kira RM70.28 juta kepada 60,000 penerima sementara setakat April tahun ini, kita telah mengagihkan RM26 juta kepada 30,976 orang yang layak," ujarnya.

Sementara itu, lebih 1,000 tetamu hadir pada Hari Baitulmal Bersama Pelanggan Bahagian Miri di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Miri anjuran TBS untuk meraikan pelanggan-pelanggan sempena sambutan Raya Aidifitri pada tahun ini.

Majlis ini bertujuan untuk menghargai mereka yang terlibat serta turut menyumbang kepada TBS selama ini.

Dalam mailis tersebut, para hadirin telah disajikan dengan jamuan Aidilfitri, persembahan lagu-lagu raya, perkhidmatan kaunter dan sebagainya.

Turut hadir ialah Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Sulaiman Mahili, Timbalan Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Iskandar Allan, Timbalan Ketua Sektor Operasi Mohd Yusree Mohd Zain dan Ketua Bahagian Miri Marini Juraibi.

  • oleh
  • Advertisement