Anda di sini

RM2.25 bilion untuk menambah baik, percepat penyediaan kemudahan telekomunikasi Internet

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited menambah baik dan mempercepatkan penyediaan kemudahan telekomunikasi Internet di seluruh negeri dengan menyalurkan dana sejumlah RM2.25 bilion, ujar Timbalan Menteri Bekalan Air Datuk Liwan Lagang. 

Menurut Liwan, meskipun penyediaan kemudahan telekomunikasi adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak kekal prihatin melaksanakan program intervensi dengan menggunakan dana negeri yang sebelum ini berjumlah RM1.89 bilion.

Jelasnya, usaha menambah baik liputan Internet ini turut merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dengan sejumlah lima menara telekomunikasi Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) diperuntukkan. 

”Dua menara telah beroperasi manakala tiga menara lagi masih di pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat sehingga suku pertama 2025,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Dudong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu Liwan memberitahu, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak 16 menara telekomunikasi di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

”Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 menara telah siap dan beroperasi manakala baki tiga menara masih di pelbagai peringkat pelaksanaan sehingga suku keempat tahun 2024,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Liwan berkata terdapat 14 menara telekomunikasi sedia ada yang beroperasi di sepanjang Jalan Naman dan Jalan KJD, masing-masing menyediakan perkhidmatan 4G sekali gus memberi liputan untuk kawasan berpenduduk di sepanjang jalan tersebut.

MCMC katanya, sentiasa menjalankan aktiviti audit rangkaian merangkumi ujian kualiti panggilan suara secara berkala di seluruh Sarawak termasuk di kawasan Dudong bagi memastikan pematuhan ke atas Standard Mandatori yang telah ditetapkan.

”Pada tahun 2023, sebanyak tujuh aktiviti audit rangkaian telah dijalankan oleh MCMC iaitu di kawasan sekitar Jalan KJD, Taman Sentoria, kawasan Kiew Nang, Jalan Lada, Jalan Mantis Selatan, Jalan Amber dan Sibu Jaya Market,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 15 menara telekomunikasi 4G baharu yang telah beroperasi di DUN Dudong iaitu SMK Sibu Jaya, Rimbunan Hijau Headquarters, Sibu Jaya Public Park, Sibu Jaya Flat, Lorong Sibu Jaya, Jalan Salim, SK Ulu Sungai Naman, SK Ulu Sungai Sengan, Rumah Ledom Stabau, SK Sungai Menyan, Rumah Nanga, SK Assan Nunggang, Jalan Salim Stabau 3, Sg Ulu Menyan dan Simpang Kanowit.

  • oleh
  • Advertisement