Anda di sini

Pemindahan pengurusan pelabuhan daripada agensi persekutuan beri kuasa autonomi jelas

Advertisement
ROYSTEIN
ROYSTEIN

KUCHING: Pemindahan pengurusan pelabuhan daripada agensi persekutuan memberikan Kerajaan Sarawak kuasa autonomi yang lebih jelas selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata, malahan menerusi pemindahan pengurusan pelabuhan juga memberi keupayaan membuat keputusan sendiri ke atas aset ekonomi penting yang dimiliki oleh Kerajaan Sarawak. 

“Ini selaras dengan tindakan yang diambil untuk memajukan agenda pembangunan wilayah mengikut matlamat ekonomi Sarawak.

“Kerajaan Sarawak boleh menggunakan pelabuhannya secara strategik untuk memacu objektif pembangunan ekonomi dengan menggunakan kawalan ke atas hab pengangkutan utama. 

“Aktiviti-aktiviti ini merangkumi penggalakan perdagangan, menarik pelaburan antarabangsa, meningkatkan sektor domestik dan hubungan serantau, yang semuanya sudah pasti menyumbang kepada kemajuan ekonomi keseluruhan dan kemakmuran Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 yang dibentangkan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Menurut Royston, penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak, akan memberi peluang untuk melakukan pembaharuan dan mengukuhkan rangka kerja kawal selia yang mengawal operasi pelabuhan di Sarawak.

Katanya, dengan menyeragamkan peraturan, dasar dan prosedur, Lembaga Pelabuhan Sarawak dapat menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan yang lebih besar dengan piawaian antarabangsa, memupuk persekitaran yang kondusif untuk perdagangan dan pelaburan. 

Tambah beliau, dengan kelulusan RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024, pembentukannya merupakan langkah bijak ke arah mengoptimumkan pengurusan dan operasi pelabuhan di Sarawak dengan implikasi yang meluas terhadap pertumbuhan ekonomi, daya saing perdagangan dan pembangunan mampan. 

“Dengan memanfaatkan kewibawaan dan sumbernya dengan berkesan, Lembaga Pelabuhan Sarawak diyakini mampu membentuk masa depan pengurusan terbaik pelabuhan yang ada di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya, sekali gus memacu hasil positif bagi ekonomi, komuniti dan alam sekitar rantau ini. 

“Melalui pengawasan strategik, peraturan standard, kesalinghubungan yang dipertingkatkan, rangsangan ekonomi dan amalan mampan, pihak lembaga ini nanti mampu melakar trajektori untuk masa depan pengurusan pelabuhan di Sarawak yang berimpak besar dan progresif,” tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement