Anda di sini

Kerajaan Sarawak sedia laksana bantuan subsidi bersasar guna data sedia ada

Advertisement
Sharifah Hasidah (kiri) bersama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin (kanan) tiba di Kompleks DUN, hari ini. – Gambar Kong Jun Liung
Sharifah Hasidah (kiri) bersama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin (kanan) tiba di Kompleks DUN, hari ini. – Gambar Kong Jun Liung

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia melaksanakan bantuan subsidi bersasar Kerajaan Persekutuan menggunakan data sedia ada pada agensi-agensi di negeri, serupa dengan kaedah yang dilaksanakan untuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, langkah ini adalah untuk memastikan tiada rakyat Sarawak yang layak tercicir daripada menerima bantuan.

Sehubungan itu, kerajaan Sarawak katanya, akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pelaksanaan penyaluran bantuan bersasar kepada penerima yang layak dalam masa yang terdekat.

"Kerajaan Sarawak melalui agensi-agensi berkaitan termasuk agensi Persekutuan di Sarawak akan mengenal pasti mekanisme terbaik mengikut penyaluran bantuan bersasar kepada penerima yang layak dalam kalangan rakyat Sarawak.

"Dalam masa yang sama, langkah ini juga penting untuk memastikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi data mereka adalah terlindung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Razaili Gapor (GPS-Beting Maro) dan John Ilus (GPS-Bukit Semuja) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Mengenai pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) di Sarawak, Sharifah Hasidah berkata isu utama berkaitan pelaksanaannya di negeri ini adalah mengenai keselamatan dan integriti data rakyat. 

Ini katanya, adalah sesuatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. 

"Justeru, seperti yang telah saya maklumkan, kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan keselamatan dan protokol PADU, dalam memastikan kepentingan data individu terlindung.

"Pada masa yang sama, kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan terus menyelia dan memantau tadbir urus keselamatan siber serta data bagi sektor awam, swasta dan rakyat Sarawak pada umumnya dalam mencapai matlamat ini," jelas beliau.

Kerajaan Sarawak juga katanya, akan memastikan maklumat dan data bagi tujuan bantuan bersasar di semua peringkat agensi Sarawak akan mematuhi tadbir urus dan keselamatan siber demi melindungi data peribadi rakyat.

  • oleh
  • Advertisement