Anda di sini

Beri hak sama rata kepada semua rakyat

Advertisement


Jangan ada pilih kasih luluskan lesen, permit perniagaan termasuk permohonan tapak niaga

Ugak (kiri) bersama David membentangkan tikar sebagai simbolik pembukaan rasmi GDB 10.0 sambil disaksikan tetamu serta ahli jawatankuasa penganjur. 
Ugak (kiri) bersama David membentangkan tikar sebagai simbolik pembukaan rasmi GDB 10.0 sambil disaksikan tetamu serta ahli jawatankuasa penganjur. 

MIRI: Agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi hak sama rata kepada semua rakyat dan kaum tanpa ada pilih kasih dalam meluluskan lesen dan permit perniagaan termasuk permohonan tapak berniaga. 

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, agensi terbabit dan PBT perlu memberi hak kesamarataan dan kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan urusan kepada mana-mana kaum yang membuka perniagaan. 

"Agensi kerajaan dan PBT perlu memberi kerjasama sepenuhnya dalam meluluskan lesen, permit, permohonan tapak dan sebagainya kepada peniaga dengan memberi hak sama rata tanpa memilih kaum," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan pembukaan Gawai Dayak Bazaar (GDB) 10.0 anjuran Persatuan Anak Dayak Sarawak (GADS) di tempat letak kereta Bandar Baru Permyjaya di sini, malam tadi.

Ugak berkata, beliau menerima maklum balas daripada Pengerusi GADS David Upe dalam ucapannya mengenai kesukaran dan cabaran dihadapi persatuan itu sepanjang penganjuran GDB yang memasuki tahun ke-10, termasuk permohonan permit mendapatkan tapak penganjuran bazar. 

Menurutnya, persatuan tetap berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang banyak membantu mereka melancarkan urusan penganjuran GDB, menyaksikan penyertaan 68 peniaga sehingga ada yang terpaksa berkongsi lot serta memanfaatkan semua ruang membuka gerai bagi menampung permintaan.  

Dalam perkembangan berkaitan, Ugak melahirkan rasa bangga dengan penyertaan masyarakat dalam GDB 10.0 kali ini, menunjukkan kesedaran ekonomi dan penyertaan peniagaan dalam kalangan kaum Dayak semakin meningkat. 

"Sebagai kaum Dayak, kita perlu bersaing dengan kaum lain. Bersaing secara sihat terutama dalam pembangunan ekonomi khsusnya dalam dunia digital.

"Dalam kementerian saya, kita ada tiga teras digital iaitu pertama kerajaan digital, kedua ekonomi digital dan ketiga komuniti digital," jelasnya. 

Beliau berkata, rakyat sudah merasakan kesan pandemik COVID-19 apabila hampir semua premis perniagaan ditutup sepanjang perintah berkurung dan kerajaan turut memulakan langkah memanfaatkan teknologi digital bagi memudahkan semua urusan harian termasuk pendidikan. 

Malah, zaman pandemik menyaksikan bermulanya penguasaan era ekonomi digital yang kemudian dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat peniaga. 

"Kerajaan digital adalah satu ilham Perdana Menteri supaya diketengahkan untuk memastikan pembangunan ekonomi meningkat dan usahawan Bumiputera digalak belajar daripada rakan-rakan kaum lain yang sudah melangkah maju dan berjaya dalam pendigitalan," katanya. 

Pada majlis itu, Ugak menyerahkan geran berjumlah RM40,000 kepada GADS bagi menjalankan aktiviti tahunan mereka dan memudahkan penganjuran GDB pada tahun depan. 

  • oleh
  • Advertisement