Anda di sini

AZAM Sarawak sedia anjur SMEC 2024 di Kuching

Advertisement
Ali ketika ditemui pada majlis Hari Raya Greater AZAM Sarawak 2024 di Kuching, malam Sabtu.
Ali ketika ditemui pada majlis Hari Raya Greater AZAM Sarawak 2024 di Kuching, malam Sabtu.

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak sedia menguruskan penganjuran Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 buat julung kali di bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili berkata, persidangan  itu diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dari 25 hingga 27 Mei ini.

Katanya, mereka telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan SMEC 2024 yang dikelolakan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

“Kita akan urus persidangan ini daripada 25 hingga 27 Mei ini, dengan tujuh speaker melibatkan peserta luar negeri dan negara.

“Sebagai pasukan yang menguruskan SMEC, kita teruja untuk menerima kehadiran lebih 600 peserta daripada Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei, Indonesia dan Singapura ke sini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Hari Raya Greater AZAM Sarawak 2024 di Dewan Sri Mahligai, Jalan Crokkshank di sini, malam Sabtu.

Menurut Ali, persidangan itu akan menjadi permulaan untuk media di Sarawak berkembang dari masa ke masa mengikut trend dan teknologi terkini.

“Kita tidak boleh bergantung kepada media tradisional kerana dengan kehadiran teknologi-teknologi terkini mengubah perspektif penggunaan media oleh semua pihak sama ada pihak media atau pengguna media yang kini bergantung dengan teknologi terbaharu,” ujarnya.

Ujarnya, kehadiran teknologi terkini telah banyak membantu pihak media dari segi melaporkan berita dan juga membantu orang ramai untuk menerima laporan yang dibuat.

Sementara itu, ditanya mengenai visi beliau susulan pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak yang baharu berkuat kuasa 1 Mei lalu, Ali mahu memperluaskan rangkaian kerjasama organisasi itu bersama semua pihak. 

“Ini termasuk kerjasama antara kerajaan negeri dan juga, badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperbanyakkan program AZAM di kawasan luar bandar.

“Selain itu, kita akan memastikan AZAM diketahui orang ramai menerusi pendekatan teknologi baharu supaya kita  benar-benar dapat menyebarkan dasar kerajaan dan pada masa sama, membolehkan masyarakat memahami akan peranan kita,” katanya.

Untuk rekod, Ali menggantikan CEO terdahulu iaitu Lelia Sim Ah Hua yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 26 April 2024. 

  • oleh
  • Advertisement