Anda di sini

Tiga bekas ADUN PSB akan dipindahkan dari blok pembangkang ke blok kerajaan

Advertisement
Asfia (tengah) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PBB. Turut kelihatan Timbalan Speaker DUN Datuk Idris Buang (kiri) dan Setiausaha DUN Nur Azhar Bujang (kanan). -Gambar UKAS
Asfia (tengah) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PBB. Turut kelihatan Timbalan Speaker DUN Datuk Idris Buang (kiri) dan Setiausaha DUN Nur Azhar Bujang (kanan). -Gambar UKAS

KUCHING: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan dipindahkan dari blok pembangkang ke blok kerajaan dalam susunan tempat duduk pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula Isnin ini. 

Kesemua tiga mereka iaitu ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa dan ADUN Ba’Kelalan Baru Bian kini merupakan ahli Parti Demokratik Progresif (PDP), parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata beliau sebagai speaker mempunyai kuasa untuk menentukan susunan tempat duduk ahli-ahli dewan. 

Katanya semasa tiga ADUN tersebut bertanding dan dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, mereka tidak menerima notifikasi berhubung Akta Anti Lompat Parti. 

“Pindaan Akta Anti Lompat Parti diluluskan pada 22 November 2022 dan berkuat kuasa pada 27 Julai 2023. 

“Tetapi mereka (tiga bekas ADUN PSB) dipilih terlebih dahulu pada PRN 2021 sebelum undang-undang tersebut diluluskan. 

“Jadi undang-undang tersebut tidak terpakai terhadap tindakan mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pra-DUN dipengerusikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini. 

Dengan perubahan susunan tempat dalam DUN Sarawak ini, blok pembangkang kini hanya diisi oleh dua ahli dewan iaitu ADUN Padungan Chong Chieng Jen dan ADUN Pending Violet Yong. 

Mengulas mengenai saranan ADUN Padungan supaya sistem pentadbiran DUN Sarawak ditambah baik terutama melibatkan jawatan rasmi ketua pembangkang, Asfia berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Negeri mengenai pemberian manfaat kepada pemimpin pembangkang. 

“Kecuali pembangkang mahu membentangkan usul untuk meminda Perlembagaan Negeri yang mana memerlukan sokongan dua pertiga majoriti,” kata Asfia. 

Chong semalam berkata, tiada jawatan rasmi ketua pembangkang dalam DUN Sarawak tidak seperti di Parlimen di mana akan ada satu jawatan rasmi dan mereka menerima manfaat seperti pembantu dan setiausaha. 

Justeru pengerusi DAP Sarawak itu merasakan perlunya sistem pentadbiran DUN Sarawak ditambah baik seperti DUN Selangor dan Pulau Pinang. 
 

  • oleh
  • Advertisement