Anda di sini

Seramai 42 pelajar sertai Program 'Kembara Anak Watan Ke Sarawak' 

Advertisement
Dayang Noorazah (duduk tengah) bersama peserta program tersebut pada majlis itu malam semalam.
Dayang Noorazah (duduk tengah) bersama peserta program tersebut pada majlis itu malam semalam.

SRI AMAN: Program 'Kembara Anak Watan Ke Sarawak' melibatkan seramai 42 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor ke Sri Aman mampu mempromosikan budaya serta adat resam masyarakat tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, program itu berjaya memperkenal budaya masyarakat tempatan di sini kepada pihak luar terutama pelajar dari Semenanjung Malaysia yang menuntut di UNIMAS dan UKM.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Misi Sukarelawan 'Kembara Anak Watan Ke Sarawak' (KEWASA 2.0) dan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri bersama pelajar-pelajar universiti terlibat di sini malam semalam.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha Kelab Belia Transformasi Aktif Simanggang menganjurkan program tersebut dengan membawa sekumpulan pelajar dari dua universiti terbabit bertandang ke bandar Simanggang.

“Usaha integrasi seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang selain memberi peluang kepada pelajar universiti mengenali bandar Simanggang yang sangat terkenal dengan fenomena benak selain mempelajari adat serta budaya masyarakat di sini,” katanya.

Kehadiran pelajar berkenaan di Sri Aman dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan empat orang ketua kaum kawasan Kampung Lemanak, Kampung Hulu, Hulu Pasir Panas dan Kampung Tengah dipilih sebagai 'keluarga angkat'. 

Semasa bersama dengan keluarga angkat masing-masing, pelajar-pelajar terlibat dengan pelbagai aktiviti peringkat kampung selain mempelajari adat serta budaya masyarakat di bahagian ini.

Turut hadir Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Sri Aman Hamizan Yahya, Penghulu Zamari Morshidi, wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sri Aman Zulkarnie Dawi, Pengerusi Kelab Belia Transformasi Aktif Simanggang Zety Zalaluddin, ketua-ketua masyarakat Kampung Lemanak, Kampung Hulu, Kampung Hulu Pasir Panas dan Kampung Tengah, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengah, keluarga angkat pelajar-pelajar anak watan dan penduduk kampung.
 

  • oleh
  • Advertisement