Anda di sini

Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Sibu Jaya berlangsung meriah 

Advertisement
Tetamu bersama kanak-kanak dari Methodist Children Home.
Tetamu bersama kanak-kanak dari Methodist Children Home.

SIBU: Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Sibu Jaya berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 8,000 orang mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari di sini hari ini.

Majlis rumah terbuka yang berlangsung di pekarangan Masjid Al-Madinatul Husna Sibu Jaya itu dihadiri pelbagai lapisan latar belakang, agama dan usia.

Orang ramai mula memenuhi pekarangan masjid seawal jam 8 pagi.

Program itu adalah anjuran HDCam dan Amcorp Sibu Jaya dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Madinatul Husna Sibujaya.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Amcorp Properties Berhad Mohd Rahimi Yusof ketika ditemui menzahirkan rasa gembira kerana sambutannya adalah di luar jangkaan.

“Jemputan kita tidak spesifik kepada mana-mana pihak kerana majlis ini terbuka kepada semua penduduk, khususnya penduduk Sibu Jaya tanpa mengira kaum dan agama kerana tujuannya membina komuniti bersama di Sibu Jaya di sini,“ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Mardinatul Husna Sibujaya Samsol Mustapha berkata pihaknya membuat persiapan terutama dari segi tenaga untuk majlis itu.

"Kalau boleh tahun depan ada lagi majlis seumpama ini. Kita dapat berkumpul bersama masyarakat," jelasnya.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting, Temenggung Dato Vincent Lau serta yang lain.

Pada majlis itu turut disampaikan duit raya kepada kanak-kanak daripada Methodist Children Home, Kompleks Kebajikan Juma'ani Tuanku Haji Bujang dan penghuni Rumah Sri Kenangan Sibu.
 

Advertisement