Anda di sini

Projek Limbang Lawas Local Plan 2035 disokong

Advertisement

Ia dapat pacum rancak pembangunan sedang, dilaksana di Limbang, Lawas setanding dengan kemajuan bahagian lain

Latip (empat kiri) bersama keluarganya pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Banting Lawas.
Latip (empat kiri) bersama keluarganya pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Banting Lawas.

“Kami bersetuju dengan langkah dan tumpuan diberikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjayakan Limbang Lawas Local Plan 2035.” 

Latip Damit 
Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Melayu Sarawak 

Oleh Mastura Ismail

LAWAS: Projek Limbang Lawas Local Plan 2035 yang diberi tumpuan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mendapat reaksi positif penduduk Lawas.

Menurut mereka, pelan itu dapat memacu dan merancakkan pembangunan yang sedang dan dilaksanakan di Limbang dan Lawas setanding dengan kemajuan di bahagian lain.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Melayu Sarawak Latip Damit berkata, Local Plan itu mampu menjadi indikator kepada kejayaan pelaksanaan projek-projek rakyat melalui pemantauan agensi kerajaan berkaitan demi memastikan ia memberi manfaat kepada penduduk di utara Sarawak.

“Kami bersetuju dengan langkah dan tumpuan diberikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjayakan Limbang Lawas Local Plan 2035.

“Diharap pihak berkaitan memajukan Lawas terutama pembinaan jambatan dari Batang Kuala Lawas untuk kemudahan dan keselesaan penduduk di kawasan itu dan Lawas keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri beliau dan keluarga di Kampung Banting Lawas, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong.

 

Bagi usahawan Lawas, Sulaiman Damit (gambar) berkata langkah itu amat tepat untuk penduduk di bahagian ini dalam memastikan segala projek dapat dipantau dan memastikan keberkesanannya.

“Saya bersetuju selaku Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Sarawak dengan langkah kerajaan  membangunkan Limbang dan Lawas.

“Sebenarnya banyak lagi projek masih diperlukan agar daerah kita tidak ketinggalan dan terus membangun seperti kawasan lain,” katanya.

 

Bagi Pemanca Hasan Pilus (gambar) banyak kemajuan dan perubahan positif berlaku di daerah yang terkenal dengan pemprosesan ikan tahai di bawah kepimpinan kerajaan negeri. 

Katanya, melalui Local Plan untuk Limbang dan Lawas itu sudah pasti lebih banyak kemajuan dicapai rakyat Lawas selama ini yang menunggu lebih banyak projek mega dilaksanakan di Lawas.

“Banyak kemajuan penduduk Lawas kecapi di bawah kepimpinan Awang Tengah dan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.

"Melalui Local Plan 2035 ini, kita berharap banyak lagi projek pembangunan diteruskan,” jelasnya.

Sebelum ini, Awang Tengah ketika berucap pada Majlis Apresiasi Warga Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) mahu ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu memantau dengan rapi semua projek di bawah tanggungjawab masing-masing.  

Projek Limbang Lawas Local Plan 2035 merupakan salah satu projek yang perlu diberi tumpuan kerajaan.

Katanya, dengan adanya kajian Local Plan komprehensif ini dapat menjamin kelestarian dan keseimbangan pembangunan daerah Limbang dan Lawas daripada aspek fizikal dan ekonomi.

Selain daripada Limbang Lawas Local Plan 2035, terdapat dua lagi projek tidak kurang penting iaitu Miri City Local Plan 2035 dan Sibu Town Local Plan 2035.
 

Advertisement